BERITA

Dr M: Jangan mansuh semata-mata desakan lawan

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jul 2013, 2:41 pagi

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948 tidak boleh dimansuhkan semata-mata kerana desakan parti lawan.

Menurutnya, jika kerajaan mahu memansuhkan dan menggubal undang-undang baru menggantikannya, kajian, dan pandangan umum mesti diambil kira, selain membandingkan dengan keadaan negara lain.

NONE "Jadi undang-undang tidak boleh digubal kerana parti lawan mendesak. Kalau ikut parti lawan negara kita tidak akan ada undang-undang.

"Pada masa yang sama, mereka tuntut rule of law (kedaulatan undang-undang). Kalau tak ada undang-undang, mana ada rule of law ," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada beliau bersetuju kerajaan memansuhkan Akta Hasutan atau menggantikannya dengan akta yang baru.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi semalam sekali lagi dilapor menegaskan akta itu harus dikekalkan dan jika dihapuskan, perkara utama seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan akan disentuh sesetengah pihak.

Hasutan makin banyak

Bagaimanapun, Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata , keengganan menteri memansuhkan akta tersebut menunjukkan BN tidak menepati slogan 'Janji Ditepati' semasa pilihan raya umum.

NONE Sementara itu, bercakap dalam sidang media sebelum itu, Dr Mahathir berkata beliau nampak hasutan semakin banyak sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, sehingga wujud pihak yang menghina agama dan Nabi Muhammad SAW.

"Kalau dahulu tidak tidak ada orang cerca agama, nabi dan sebagainya. Sekarang sudah ada. Kalau tiada ada undang-undang, kita hidup tanpa undang-undang bolehlah, tetapi ada masalah.

NONE "Masing-masing akan cerca sesiapa sahaja. Saya nak undang-undang. Saya hidup dalam undang-undang. The rule of law (kedaulatan undang-undang)," katanya.

Ditanya kenyataan Zahid - ahli parlimen Bagan Datoh - yang mahu akta itu dipinda, sedangkan Najib mahu ia diganti dengan akta baru, Dr Mahathir berkata:

"Itu pendapat PM. Saya berpendapat (kalau) kita nak pinda apa-apa akta, sehingga tidak berkesan, lebih baik tidak ada undang-undang. Kita bebas buat apa sahaja," katanya.

Diminta menegaskan sama ada beliau bersetuju dengan meminda dan diganti dengan akta baru, beliau berkata tidak mengetahui mengenai peruntukan baru sama ada ia "lebih baik, ketat atau tidak ada kesan langsung".

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.