Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrizat: Sila masuk gelanggang, saya persilakan

Sekalipun Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil mengalu-alukan kesediaan bekas ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said bertanding jawatan itu, beliau mengingatkan supaya Azalina tidak membawa mesej perpecahan dan perbalahan.

Shahrizat turut mengingatkan Azalina supaya bertanding jawatan itu kerana ikhlas mahu membela wanita dan bukannya membawa mesej "transformasi orang muda nak masuk dalam Wanita Umno".

"Yang saya tak mahu tengok ada kumpulan bekas ketua Puteri yang masuk ke Wanita bahagian bertembung dengan ketua Wanita bahagian, akan ada perpecahan Umno, (sama ada) yang wanita dahulu dengan Wanita, Puteri yang nak masuk atau sudah masuk satu penggal.

"Saya nak minta Azalina atau sesiapa nak kempen, kempen untuk semua, jangan ada segregation (puak-puak), jangan ada perpecahan di antara kumpulan Puteri dan bekas Puteri dan Wanita Umno, saya rasa tak cantik

"Sebab apa? Ini akan menggalakkan perpecahan dan perbalahan di antara ibu dan anak, tak cantik tak berkat, saya tak mahu tengok itu," katanya dalam sidang media di Kampung Nail, Kuala Besut hari ini.

Hujung bulan lalu, Azalina yang juga bekas menteri belia dan sukan menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan untuk jawatan tertinggi dalam sayap Wanita hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat yang tegas mahu mempertahankan jawatannya itu, juga mahu Azalina berkempen dengan semua peringkat kaum ibu dari kalangan Wanita dan bekas Puteri Umno bagi mengelakkan bibit-bibit perpecahan antara mereka.

Shahrizat turut mengalu-alukan pemimpin Wanita lain untuk menawarkan diri merebut jawatan itu kerana "tidak menjadi masalah langsung kepada beliau, exco mahupun Wanita" yang dipimpinnya.

"Kita tak boleh nak dictate ke nak apa, tak ada. Saya pun rasa gembira apabila Azalina nak bertanding mungkin ada yang lain, mungkin ada yang lain.

"Ada yang akan hantar calon proksi. Kita tahulahkan, akan ada. Sila masuk gelanggang, saya mempersilakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS