Parti Rakyat Malaysia hari ini menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, memberikan jawaban mengapa parti itu dan Parti KeADILan Nasional tidak diberikan keizinan untuk mengadakan ceramah pada Sabtu ini.

Menurut Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, parti-parti pembangkang pernah diberikan jaminan oleh Norian bahawa mereka akan dibenarkan mengadakan ceramah sekiranya semua syarat permit dipenuhi.

"Polis menolak permohonan kami tanpa memberi apa-apa alasan atau penjelasan," kata Syed Husin kepada malaysiakini , sambil menegaskan "bantahan keras" dari parti itu.

"Kami telah membuat permohonan dengan memberikan semua keterangan yang dikehendaki dan memenuhi segala syarat. Ceramah itu, seperti semua ceramah yang pernah dianjurkan, akan diadakan secara aman."

Katanya, Norian berjanji bahawa polis akan memberikan kebenaran mengadakan ceramah tiga hari sebelum sesuatu majlis jika permohonan dibuat mengikut syarat.

"Mengapakah sekarang ini polis menghalang ceramah-ceramah anjuran parti-parti alternatif di merata negeri?" soal Syed Husin lagi.

Keputusan tidak memberikan permit ini terkandung dalam surat sebaris yang ditandatangani oleh DSP Mohd Yusof bin Shuib dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Surat itu berbunyi, "adalah dimaklumkan bahawa pejabat ini tidak dapat meluluskan permohonan tuan-puan untuk mengadakan majlis ceramah yang dicadangkan itu" tanpa menyatakan sebarang sebab.

Ketika dihubungi malaysiakini , Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Datuk Dell Akbar Khan, berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

"Saya sedang bercuti, tidak dapat memberikan sebarang kenyataan," kata Dell ringkas dan terus meletakkan telefon.

Ceramah terbuka anjuran bersama PRM dan KeADILan itu dijadualkan pada Sabtu ini di padang Rumah Pangsa, Taman Medan Baru. Empat pemimpin pembangkang yang akan berucap dalam ceramah terbuka itu termasuklah Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor, Naib Presiden PRM, Rustam A. Sani dan ADUN Hulu Klang Mohd Azmin Ali, selain beliau sendiri.

"Norian hendaklah menepati jaminan serta janji yang dibuatnya itu. Jika tidak, kredibiliti polis akan bertambah merosot," tambahnya.