Enam pemimpin Parti KeADILan Nasional dan aktivis reformasi yang ditahan polis berhubung perhimpunan '14 Hitam' Sabtu lalu telah dibebaskan petang tadi. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis. Bagaimanapun dua daripada mereka dituduh di mahkamah magistret berhubung dua kes yang berlainan.

Naib Presiden Tian Chua dituduh menyertai perhimpunan haram di Masjid Negara pada 11 Mac lalu. Di mahkamah petang tadi, beliau dibenarkan ikat jamin RM2,500. Perhimpunan itu diadakan sebagai membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri mengehadkan penerbitan tabloid PAS, Harakah , daripada lapan kepada dua kali sebulan.

Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor pula dituduh menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Sabtu lalu dalam satu ceramah di Kampung Pasir, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Beliau yang dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,500 akan dibicarakan pada 18-20 September depan.

Empat yang lain - Penolong Setiausaha Pemuda Gobalankrishnan Nagapan, Setiausaha Kerja Pemuda Zahid Md Arip, Ketua Bahagian Bukit Bintang Sanusi Abdullah dan aktivis reformasi Abdul Malek Hussin - dibebaskan dari Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Mereka dikehendaki melaporkan diri di IPK pada 5 Mei depan.

Semalam, Ketua Penerangan Ruslan Kassim dibebaskan dengan jaminan polis.

Mereka semua ditahan kerana disyaki merancang perhimpunan besar-besar hujung minggu lalu di Masjid Negara bagi memperingati ulang tahun pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dihukum penjara.

Seramai 48 penyokong reformasi yang ditahan Sabtu lalu akan dibawa ke mahkamah magistret esok. Mereka akan dibebaskan dengan ikat jamin atau ditahan reman selanjutnya.

Seramai lebih 50 penyokong reformasi dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) hadir menyatakan sokongan di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Turut kelihatan bersama kumpulan penyokong itu termasuklah, Presiden PRM Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Politik Ketua Pembangkang Dr Mohd Hatta Mohd Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, di Kota Bharu Kelantan, seorang lagi aktivis KeADILan yang dikehendaki polis berhubung siasatan yang sama, Lokman Noor Adam, mendakwa polis menahan beberapa penyokong parti itu.

Bagaimanapun, menurut sumber IPK Kelantan, seorang penyokong parti itu, Nor Azman Mohd Amin, berjaya ditahan untuk siasatan setelah didapati membawa pembesar suara (loud-hailer) di Masjid Nilam Puri, Kota Bharu tengah hari tadi.

Malaysiakini gagal mendapatkan pengesahan polis untuk perkembangan selanjutnya.

Sekumpulan penyokong KeADILan dipercayai berusaha menganjurkan satu perhimpunan di masjid itu jam 2 petang tadi sebelum menyerahkan memorandum kepada Raja Kelantan.

Bagaimanapun, menurut sumber polis, sejak selepas sembahyang Jumaat tadi, tiada perhimpunan diadakan seperti dijadualkan.

Polis mengesahkan kepada malaysiakini bahawa risalah-risalah mengajak orang menyertai perhimpunan itu disebarkan di sekitar bandar itu.