mk-logo
Berita
Pemuda PAS musykil Anwar ajak k'jaan dialog
Diterbitkan:  Sep 2, 2013 5:15 AM
Dikemaskini: 7:03 AM

Sekalipun menganggap cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan sebagai cadangan baik, Pemuda PAS bagaimanapun "musykil" mengapa ketua umum PKR itu beriya-iya untuk berbuat demikian.

NONE Sedangkan sebelum ini, kata naib ketua dewan itu Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob ( kanan ), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti Islam itu teruk dikritik ketika mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan.

"Tanggungjawab membina negara adalah amanah yang perlu dipikul bersama dan setiap pemimpin perlu merasa prihatin terhadap pergolakan negara dengan memberikan respons atau sebarang kerjasama.

"Namun begitu, Pemuda PAS merasa musykil mengapa Datuk Seri Anwar begitu beriya-iya mengajak kerajaan berbincang sedangkan sebelum ini begitu teruk Presiden PAS dan pimpinan PAS yang lain dihentam ketika cadangan mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan," katanya.

Sehubungan itu, Raja Ahmad mengingatkan Anwar supaya berhati-hati dengan permainan politik musuh dan dewan itu bimbang jika beliau terperangkap dengan politik "golongan berkepentingan".

Jumaat lalu, Anwar yang juga ketua pembangkang mengajak diadakan dialog terbuka antara kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu-isu kebangsaan yang perlu ditangani.

Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menganggap saranan Anwar sebagai "tindakan terdesak " manakala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesyorkan usul dialog itu dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya hari ini, Raja Ahmad juga berharap Anwar merujuk sebarang keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertemu dengan kerajaan BN.

Beliau turut berharap Majlis Presiden Pakatan serta pimpinan Pakatan meneliti cadangan Anwar serta mendokong usaha kerjasama dan perbincangan tersebut.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini