Kerajaan tidak bercadang mengadakan suruhanjaya khas yang diketuai oleh tokoh masyarakat yang berwibawa bagi menangani dakwaan salah guna kuasa dalam agensi-agensi kerajaan.

Setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar berkata demikian semasa menjawab soalan Mohd Amar Abdullah (PAS-Pengkalan Chepa) berhubung cadangan wakil pembangkang itu agar kerajaan mengadakan suruhanjaya bagi menangani dakwaan agensi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan suruhanjaya khas bagi menangani isu penyalahgunaan kuasa agensi kerajaan kerana dakwaan-dakwaan yang dibuat itu tidak berasas," kata Noh.

Beliau menambah, bukti kukuh perlu dikemukakan terhadap agensi yang didakwa menyeleweng, bukan sekadar tuduhan rambang dan liar.

Mohamad Sabu (PAS-Kuala Kedah) bangun mempersoalkan tindakan RTM yang didakwa tidak menjalankan dasar-dasar kerajaan tetapi merendahkan martabat dasar penerangan di Malaysia dan meminta kerajaan agar tidak menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk tujuan politik.

"Rakyat negeri-negeri lain hairan, dua menteri besar (Kelantan dan Terengganu) dihentam begitu teruk setiap hari sehingga mereka kata dua menteri ini rakyat Malaysia atau parti mereka halal atau tidak," kata Muhamad dalam soalan tambahannya berhubung bahan siaran RTM itu.

Noh menjawab, isu tersebut telah dijelaskan oleh Setiausaha parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin semalam.

Noh juga berkata cadangan wakil Pengkalan Chepa menubuhkan suruhanjaya khas untuk menyiasat SPR adalah "tidak munasabah dan emosi."

'Terima kasih pada RTM'

"Kalau Suruhanjaya Pilihan Raya tidak telus, masakan PAS dulu (memenangi hanya) lapan kerusi sekarang ada 27 kerusi," hujahnya.

Raja Datuk Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) pula meminta berita lawatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ke Bukit Pelandok, Negeri Sembilan sebelum ini ditayangkan semula oleh RTM apabila PAS mendakwa agensi kerajaan itu dikongkong.

"Apakah peranan Harakah yang tiap-tiap hari mengutuk (kerajaan). (Kemudian) meminta penerbitannya (lapan kali setiap bulan) diberikan semula," pertikai Raja Ahmad.

Noh menjawab, lawatan menteri besar itu hanya diketahui daripada laporan akhbar tabloid PAS, Harakah dan menambah: "Terima kasihlah pada RTM kerana mempromosikan Menteri Besar Kelantan."

Tambahnya jika pembangkang dapat berfikir secara rasional, mematuhi undang-undang negara, dan mematuhi peratutan, mereka boleh memahami matlamat kerajaan.

Sementara dalam soalan tambahan kepada Kementerian Pendidikan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Kuala Terengganu) berkata beliau mendapat maklumat bahawa kemudahan di sekolah-sekolah di negeri itu digunakan oleh Umno untuk mengadakan mesyuarat parti.

Beliau mempertikaikan kewajaran tindakan Umno yang sering mengeluarkan kenyataan agar pendidikan tidak dipolitikkan dan bertanya sama ada PAS juga boleh berbuat demikian.

Setiausaha parlimen kementerian itu, Datuk Mahadzir Mohd Khir menjelaskan tindakan itu bukannya mempolitikkan sekolah dan hanya kemudahan di bangunan itu digunakan untuk kegiatan yang baik.