Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan mengancam akidah umat Islam sekalipun mengakui wujud cubaan tersusun untuk merungkai institusi dan asas-asas Islam di negara ini.
Beliau turut menegaskan parti itu tidak sekali-kali menghalalkan sebarang perbuatan dosa besar kononnya atas dasar menghormati hak peribadi meskipun mengakui umat Islam berdepan pelbagai serangan atas nama globalisasi, hak asasi dan demokrasi.
"Umat Islam dipaksa menerima konsep kebebasan individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan berlainan agama, hak untuk murtad, amalan ajaran sesat, gaya hidup gay dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain.
"Malah, dalam dunia hari ini, prinsip kebebasan individu yang tidak berteraskan nilai agama dan budaya dijadikan penanda aras moral di peringkat global," katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata parti mengalu-alukan pertubuhan Melayu dan Islam yang lain untuk berganding bahu mempertahankan akhlak, moral dan akidah umat Islam demi memperkukuhkan lagi perjuangan menegakkan agama.
"Saya dapat merasakan umat Islam amat resah apabila pelbagai dakyah songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam disebarkan di negara kita.
"Mereka khuatir ini akan merosakkan akidah dan perpaduan umat Islam. Kerana itu, akhir-akhir ini banyak NGO Melayu dan Islam bangkit mempertahankan akidah umat Islam," katanya.
Beliau memberi contoh beberapa NGO Melayu dan Islam seperti PEMBELA, PERKASA, JATI, MUAFAKAT, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang bangkit memperjuangkan keselamatan akidah umat Islam.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bertajuk "Menyambung Risalah Perjuangan Suci" bagi Persidangan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam ini.
Dalam ucapannya juga, Muhyiddin menegaskan jika semua tuntutan "hak asasi tanpa batas" itu dipenuhi, maka kesucian institusi keluarga tidak dapat dipertahankan lagi dan keruntuhan akhlak insan pasti terjadi.
Deklarasi Kaherah
Katanya, pandangan Islam amat berbeza mengenai hak asasi manusia seperti mana yang termaktub dalam Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asas Manusia Dalam Islam yang mengiktiraf institusi keluarga dan perkahwinan yang sah sebagai asas pembentukannya.
"Keselamatan akidah umat Islam juga dipelihara dengan tidak mengiktiraf kesalahan murtad sebagai suatu hak.
"Kandungan Deklarasi Kaherah ini perlu dijadikan panduan oleh negara-negara Islam dalam menghadapi kumpulan hak asasi manusia yang mendesak supaya umat Islam mengiktiraf hak-hak yang bercanggah dengan prinsip Islam," katanya.
Sebaliknya beliau mengecam NGO Coalition of Malaysian NGOs (Comango) yang didakwa melobi negara asing mendesak Malaysia mematuhi prinsip hak asasi tanpa batas termasuk mengiktiraf hak orang Islam untuk menukar agama dan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Saya lihat desakan-desakan ini adalah contoh jelas kewujudan gerakan menyebarkan dakyah songsang atas nama kebebasan tanpa batas di negara kita.
"Kumpulan ini nampaknya mempunyai dana yang cukup besar sehingga mampu menghantar wakil-wakil mereka ke luar negara untuk melobi negara-negara asing supaya memberi tekanan kepada Malaysia.
"... Adakah kita mahu akidah umat Islam dipesongkan oleh mereka? Tentu sekali tidak," katanya sambil diiringi laungan "tidak" oleh perwakilan ketiga-tiga sayap.
Demi mempertahankan akidah Islam, Muhyiddin berkata umat Islam perlu diperkukuhkan dengan mendapat pendidikan agama yang sempurna dan akidah yang berpandukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, gerakan dakwah dan tarbiah perlu diperhebatkan dengan memperkukuhkan institusi agama Islam dan tidak terhenti di peringkat sekolah atau universiti sahaja sebagai usaha mendapat pendidikan agama sepanjang hayat.
Bagi merealisasikannya, beliau mencadangkan kerajaan Pusat dan Majlis Agama Islam Negeri berbincang dan bekerjasama bagi menjayakan inisiatif itu termasuk institusi pondok, maahad tahfiz dan masjid di seluruh negara boleh dinaiktaraf sebagai Kolej Komuniti Islam dengan menawarkan kursus pengajian Islam kepada masyarakat Islam setempat.
'Pelik bin ajaib'
"Saya ingin menjemput pertubuhan-pertubuhan Islam untuk turut sama terlibat menjayakan inisiatif ini sebagai salah satu usaha ta'awanu ‘ala al-birri wal taqwa seperti yang disebut di dalam al-Quran.
"Saya berharap agar dasar ini boleh kita laksanakan dengan segera untuk memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar, dan sekaligus membentengi mereka daripada pelbagai dakyah songsang yang menjejaskan akidah umat Islam.
Muhyiddin turut mempersoalkan tuduhan bahawa Malaysia bukan sebuah negara demokrasi dan menyifatkannya "pelik bin ajaib" sepertimana Laporan Freedom House 2013, berbanding negara Rwanda, Nicaragua dan Korea Utara yang dianggap bukan merupakan negara demokrasi.
Sedangkan, katanya, Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan lebih lima dekad dan mengadakan berpuluh kali pilihan raya, termasuk pilihanraya kecil, tetapi belum boleh dikatakan sebuah negara demokrasi.
"Suara-suara sumbang seumpama ini boleh didapati dalam laporan-laporan mengenai hak asasi manusia yang diterbitkan oleh pertubuhan tertentu di negara kita dan juga di dalam akhbar-akhbar parti pembangkang.
"Jadi, apakah sebenarnya muslihat mereka menuduh kita tidak demokratik? Adakah terdapat udang di sebalik batu?
"Adakah dengan mengatakan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi, mereka berharap kita akan mengambil tindakan tertentu untuk kononnya menjadi lebih demokratik, termasuk menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, membenarkan kebebasan beragama tanpa batas diamalkan di negara kita, menghapuskan institusi raja-raja Melayu untuk menjadi negara republik sepenuhnya, dan lain-lain lagi," katanya.
Sebenarnya, tegas Muhyiddin, niat mereka untuk membentuk persepsi bahawa perjuangan menegakkan agama, bangsa dan tanah air yang digalas oleh Umno sebagai satu perjuangan yang tidak relevan dan sia-sia.
"Inilah yang cuba dibuat oleh mereka," katanya lagi.
