Exco Pergerakan Pemuda Fathul Bari Mat Jahya menyeru kepada para perwakilan dan ahli Umno agar tidak berasa susah hati apabila mereka berusaha untuk menjaga hak orang Melayu.

"Kita parti bangsa Melayu. Apa masalahnya? Jangan gundah gulana apabila orang tuduh kita rasis.

"Kita tidak ambil hak orang lain, malah kita juga jaga hak orang lain. Sebaliknya kita tanya orang yang tuduh, apa sumbangannya kepada negara.

"DAP, saya tengok lebih menjaga bangsa mereka, jadi apa masalah untuk kita mempertahankan bangsa kita," katanya dalam ucapan menyokong ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2013 hari ini.

Dalam ucapannya itu, Fathul Bari yang anggota Sekretariat Ulama Muda Umno turut menyentuh mengenai peranan golongan ulama dalam parti tersebut yang dilihatnya masih belum jelas.

Katanya, Majlis Tertinggi Umno perlu membentuk “portfolio” lebih jelas kepada ulama berkenaan agar "tidak dilihat sebagai pelengkap semata-mata".

"Mereka perlu diberi hala tuju yang jelas, baru rakyat merasai kewujudan mereka dalam Umno," katanya yang turut kesal apabila pendakwah bekas anggota PAS Mohamad Kazim Elias, menolak pelantikan jawatan anggota Majlis Tertinggi.

Beliau mendakwa, terdapat pihak tertentu yang sanggup membuka akaun Facebook palsu untuk memfitnah dan menekan Mohamad Kazim sehingga pendakwah itu enggan menerima jawatan tersebut.

Katanya, tindakan tersebut umpama sikap golongan Yahudi yang sentiasa mempertikaikan dan tidak berpuas hati dengan setiap tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad pada zaman baginda.

Menyentuh satu lagi isu, anak sulung bekas mufti Perlis itu turut mencadangkan agar kerajaan membentuk unit khas atau memperkasa Unit Teks Al-Quran bawah Kementerian Dalam Negeri bagi mengatasi masalah penyebaran ajaran sesat.

Beliau mendakwa, ajaran sesat berkenaan menular melalui penyebaran hadis-hadis palsu.

"Sehubungan itu saya mencadangkan kepada naib presiden supaya diwujudkan institusi atau seperti pemeliharaan teks Al-Quran (bawah KDN) iaitu (teks) hadis," katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya setiap pemimpin bersedia untuk dikritik sepertimana khalifah Muawiyah Abi Sufyan yang sedia ditegur oleh orang biasa berhubung harta negara dan harta rampasan perang.

"Bagaimanapun orang yang mengkritik ada cara, ada platformnya. Dan apa yang dikritik perlu dianalisis sebelum dilontarkan," katanya.