Umno Selangor berikrar tidak akan berulang kekalahan kali ketiga BN dalam pilihan raya umum akan datang di negeri itu.

Bercakap dalam perhimpunan agung Umno 2013 di ibu negara hari ini, perwakilan Selangor Ir Kamaruzzaman Johari berkata, semua pemimpin kanan daripada 22 bahagian di negeri itu telah pun bermukim di Langkawi untuk merancang kejayaan mereka.

"Ikrar, 'Sumpah Langkawi' menjadikan pilihan raya umum ke-13 adalah kekalahan yang terakhir. Bukan jadi sumpah Langkawi yang kalah tujuh keturunan.

"(Tapi) Selangor menyahut cabaran tiada lagi kekalahan kali ketiga (pada pilihan raya umum ke-14)," katanya.

Dalam pertemuan itu, tambahnya, kesemua pemimpinm bahagian yang baru dipilih telah berjanji untuk bangkit mencapai kemenangan pada masa akan datang.

Menurutnya lagi, pihaknya tidak mahu berlaku satu kapal dua nakhoda dan mengambil iktibar situasi begitu.

"Ambil iktibar daripada pengalaman lalu, jangan dipatuk ular di lubang yang sama dua kali," katanya.

Bergantung pada Umno

Menurutnya lagi, cara berfikir pengundi Selangor, tidak sama dengan pengundi di negeri lain.

Sehinggakan, tambahnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak memberi kesan seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan bantuan persekolahan.

"Kita (sebaliknya) dituduh korup, rasuah dan nepotisme, membazir, (ia) sudah terpateri pada sebahagian pengundi di Selangor.

"Peranan Umno perlu dikembalikan semula. Kebergantungan mereka daripada Umno perlu dirasai," katanya.

Beliau juga menuntut jawatan penyelaras di kawasan parlimen di negeri itu diwujudkan semula supaya memudahkan gerak kerja dengan pelbagai pihak.