versi terkini Pengunduran Datuk Mokhzani Mahathir daripada dunia perniagaan tidak dapat membersihkan nama bapanya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, daripada isu kronisme dan nepotisme, kata seorang pemimpin pembangkang hari ini.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional, Ruslan Kassim berkata tindakan anak Perdana Menteri itu hanya untuk mengaburi mata rakyat.

"Berniaga ini bermacam-macam cara. Ada yang (menggunakan nama orang lain) melalui proksi, (perniagaan) peribadi atau rakan-rakan," kata Ruslan, sambil menambah isu kronisme dan nepotisme sudah sebati dengan Dr Mahathir dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

"(Pengunduran) ini taktik lama, orang ramai sudah tidak boleh ditipu."

Akhbar hari ini melaporkan Mokhzani mengambil keputusan untuk melepaskan seluruh pegangannya dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), terutamanya Pantai Holdings dan Tongkah Holdings.

Pantai Holdings terlibat dalam beberapa kegiatan yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan, termasuk projek penswastaan beberapa khidmat hospital kerajaan.

Mokhzani yang memegang 12.6 peratus kepentingan langsung dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus dalam Pantai Holdings dilaporkan berkata keputusannya itu dibuat tanpa pengetahuan bapanya.

"Saya tahu jika saya berbincang dengannya (Dr Mahathir), dia akan berkata 'jangan undur'," katanya.

Menurut laporan itu, beliau berbuat demikian akibat kecewa terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan imejnya dan juga bapanya Dr Mahathir.

"Dalam masa kebelakangan ini banyak tohmahan dan cerita-cerita yang karut yang mengaitkan saya dengan projek-projek kerajaan atau projek gergasi yang memang tidak benar. Saya rasa ini adalah usaha tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya dan ayahanda saya," katanya kepada agensi berita nasional Bernama semalam.

Beratus-ratus syarikat

Ruslan berkata, sekiranya benar berita pengunduran itu, Mokhzani memperolehi keuntungan berpuluh-puluh juta daripada jualan sahamnya dalam syarikat-syarikat tersebut. "Beliau masih 'terlalu kaya'," katanya.

Pemimpin pembangkang itu mendakwa pengalamannya ketika bersama Pemuda Umno bahawa setiap permohonan daripada syarikat yang mempunyai pengarah "berbinkan Mahathir, orang akan takut." Ruslan keluar daripada parti itu selepas krisis politik pada September 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan parti.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata keputusan Mokhzani itu perlu diterima dan anak Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk melepaskan kepentingannya.

Pemimpin Pemuda Umno itu adalah anak lelaki kedua Dr Mahathir daripada tujuh orang adik beradik. Selain Mokhzani, dua lagi anak lelaki Perdana Menteri juga terlibat dalam perniagaan. Pembangkang pernah mendakwa tiga anak ini menguasai beratus-ratus buah syarikat dalam pelbagai industri di negara ini.

Mokhzani, yang juga Penolong Bendahari Pemuda Umno, menafikan keputusan itu ada kaitan dengan cadangan presiden parti itu untuk melarang golongan terlalu kaya daripada bertanding dalam Umno.

Muhammad berkata perubahan dalam pembangunan negara membawa banyak perubahan nilai dalam kehidupan masyarakat.

Beliau menegaskan kekayaan boleh menghancurkan organisasi-organisasi yang memperjuangkan orang Melayu.

Muhammad juga mempertahankan cadangan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin dua hari lalu bahawa kerajaan mungkin menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengawal politik wang dalam parti-parti politik jika keadaan memerlukan mendesak.

"Apakah kita sanggup membiarkan negara kita dibeli oleh negara luar?" kata Muhammad.