Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang pada dasarnya tidak bersetuju dengan Penyelesaian 10 Perkara yang dikeluarkan kabinet.

Penyelesaian tersebut dikeluarkan hasil perbincangan Perdana Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pihak gereja untuk menyelesaikan isu kalimah Allah.

"Janganlah Islam dilihat sebagai tidak mempunyai keanjalan dalam soal ijtihad sehingga perjanjian yang siap ditandatangani PM tidak dihormati dan boleh dilanggar sewenang-wenangnya," kata dalam sidang media.

Beliau menjawab kritikan MAIS terhadap kenyataannya sebelum ini yang mempersoalkan motif MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung rampasan Bible baru-baru ini.

Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata pihaknya mempertahankan Islam dan mematuhi titah Sultan Selangor sebagai ketua agama selagi selaras dengan undang-undang, fatwa dan enakmen negeri sekali gus "tidak mengikut telunjuk sesiapa pun sama ada daripada pihak Umno atau kerajaan Persekutuan".

Menjawab kenyataan MAIS bahawa sesuatu tindakan JAIS tidak perlu merujuk kepada exco agama atau kerajaan negeri, Khalid berkata kenyataan tersebut "tidak bijak dari sudut politik".

Sebaliknya, kata Khalid, pendekatan syura yang disarankan Islam adalah pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu yang timbul.

"Tindakan berbincang dan bersyura merupakan tindakan yang menjamin matlamat kerajaan pilihan rakyat, serta institusi agama dan raja diselaras dan dijayakan bersama.

"Ini akan menghasilkan perpaduan dan kesatuan dan semestinya itulah yang diinginkan dan bukan sebaliknya," katanya.

Ahli jawatankuasa PAS itu juga bertanya adakah benar Bible yang dirampas mempunyai lambang salib dan tulisan 'percetakan Kristian' di kulit buku seperti yang disyaratkan oleh penyelesaian 10 perkara.

"Bagaimana saya hendak yakin bahawa tiada permainan politik sekiranya Datuk tidak sanggup bercakap benar sepenuhnya dalam isu ini?" kata Khalid.

Pemimpin PAS Selangor itu berkata Islam melarang tindakan tidak menghormati tempat ibadat agama lain, dan ajaran serta kitab mereka ialah supaya keadilan Islam akan jelas dizahirkan.

"Dengan itu manusia akan tertarik kepada Islam.

"Maka jagalah imej Islam dan biarlah kita menjadi faktor penarik dan bukan penolak terhadap agama Islam. Itu kewajipan kita bersama.

"Tindakan menjatuhkan imej Islam sehingga dilihat tidak menghormati agama bukan Islam adalah jenayah yang perlu dicegah," katanya.

ADS