Seorang tokoh wartawan Indonesia malam tadi berkongsi pengalamannya bagaimana beliau bersama rakan-rakannya menuntut kebebasan akhbar dan bersuara di republik itu.
Presiden Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Eko Maryadi ( bawah ) berkata beliau terpaksa membayar harga yang mahal apabila dipenjara tiga tahun ketika pemerintahan Presiden Suharto ekoran tindakan nekadnya itu.
Beliau berkata insiden tangkapannya berlaku selepas pengharaman majalah Tempo pada 1994 dan setelah mencabar persatuan wartawan di negara itu yang didakwanya "tidak melidungi" hak majalah itu.
Lalu, Eko bertindak mencetak majalahnya sendiri - dikenali Independen - yang mana beliau juga menjadi salah seorang editor, sehingga membawa penangkapan dua lagi rakannya - seorang wartawan Tempo dan seorang pekerja pejabat yang mengedarkan majalah itu.
Bercakap dalam forum kebebasan akhbar di ibu negara malam tadi, Eko berkata antara sebab utama beliau dan dua lagi rakannya ditahan kerana didakwa menerbitkan majalah yang dianggap "membenci kerajaan".
"Saya menerbitkan majalah itu tanpa permit... Saya ada lima artikel yang boleh (disabitkan) dihukum penjara tujuh tahun.
"Tetapi mungkin hakim berasa simpati, dia memberikan hukuman tiga tahun penjara. Penjara itu baik, bukan satu tempat yang jahat seperti yang kamu fikirkan," katanya
Menceritakan mengenai "kebaikan" berada penjara, sosok lelaki yang berpengalaman 20 tahun dalam dunia kewartawanan berkata beliau membina solidariti dengan banduan termasuk mahasiswa, tahanan politik dan yang didakwa oleh sebagai 'komunis'.
Dalam penjara beliau "belajar dan mengajar" mengenai kehidupan apabila mengajar banduan memahamkan hak mereka sebagai rakyat dan mempelajari cara menyusun sumber manusia dalam suasana politik yang represif.
Temui Xanana Gusmao
Bahkan, beliau juga sempat bertemu dan mempelajari pendekatan pemikiran strategi Xanana Gusmao - tokoh pembebasan Timur Leste - dengan banduan lain serta "cara berfikir luar kotak" daripada "tahanan komunis" - yang tidak pernah dibicarakan.
"Selepas dibebaskan, saya bekerja sebagai wartawan Washington Post selama setahun setengah. Saya belajar daripada media asing yang lebih berdisiplin, profesional dan tepat.
"Ketika itu, kami banyak menerbitkan berita terkini dan kemudiannya diikuti oleh media arus perdana yang lain," katanya sambil menambah tuntutan kebebasan boleh dijayakan dengan mendampingi kumpulan pertengahan dalam masyarakat.
Kemudiannya, Eko berkata, tuntutan kebebasan dalam dunia penerbitan dan penyertaannya dengan gerakan mahasiswa pada akhir 1998 menyaksikan kejatuhan Suharto.
Selepas kejatuhan itu juga beliau membina jaringan dengan media luar termasuk wartawan portal berita Malaysiakini , tambah Eko lagi.
Berdasarkan pengalaman Indonesia, Eko berkata kumpulan ini menjadi "kawan" kumpulan media memandangkan Indonesia berdepan krisis kewangan pada 1995 hingga 1997 dan kumpulan itu antara majoriti yang terkesan akibat krisis itu.
Hasil daripada reformasi yang berlaku pada 1998, Eko berkata rakyat Indonesia menikmati kebebasan akhbar, berhimpun, berucap dengan kejayaan meluluskan pindaan perlembagaan negara.
Katanya, ia melibatkan undang-undang hak asasi dan penerbitan dan akhbar serta berjaya menetapkan fungsi media sebagai saluran maklumat, mendidik, menghibur serta mengawal kekuasaan seperti yang dikecapi hari ini.
