Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

16 Februari 2014

Perjalanan ke Iran agak panjang, iaitu enam jam ke Dubai dan hampir tiga jam dari Dubai ke Tehran.

Sebelumnya memang ada penerbangan terus dari KL-Tehran. Namun perjalanan itu berhenti buat seketika. Kami menaiki pesawat MAS dan tiba di Dubai pada jam 5.45 petang waktu tempatan.

Bersama dalam rombongan kami ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said bersama isteri dan Datuk Seri Reezal Merican, ahli Parlimen Kepala Batas.

Manakala pegawai yang menyertai kami dari Parlimen ialah Dauk' Rosmee Hamzah sebagai setiausaha Dewan dan Tengku Nasarudin sebagai pegawai dari pejabat protokol.

MP Kalabakan Datuk Seri Ghapur Salleh terpaksa menarik diri saat akhir kerana sakit mata.

Seorang lagi anggota delegasi ialah MP Masjid Tanah, Mas Ermiyati yang menyertai kami keesokan harinya melalui Istanbul kerana urusan lain.

Mas Ermiyati juga adalah ketua pergerakan Puteri Umno.

Nampaknya hanya saya seorang sahaja peserta delegasi dari blok Pakatan Rakyat.

Namun kami semua menyedari bahawa kami membawa membawa misi negara dalam isu yang ada kepentingan negara Islam, walaupun sesekali senda gurau kami sepanjang perjalanan ada insuniasi kepartian berbentuk humor.

15,000 pekerja M'sia di Dubai

Penerbangan ke Tehran pada 15 Februari 2014 di awal pagi, iaitu pukul 12.55 pagi.

Kami ada 5 hingga 6 jam transit dan terpaksa berpindah ke terminal lain kerana menaiki penerbangan Emirates untuk ke destinasi akhir kami.

Kami disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia Datuk Ahmad Fadil Shamsudin bersama beberapa pegawainya.

Kami membuat keputusan untuk keluar sekitar bandar Dubai sebelum menunggu enam jam lagi untuk kembali ke lapangan terbang.

Semuanya telah disediakan dan kami menikmati jamuan makan malam di Dubai Mall.

Dubai adalah syurga pelabur kerana infrastruktur yang disediakan dan pelaburan besar yang disuntik oleh kerajaan United Arab Emirates (UAE) dan sektor persendirian.

Dubai juga telah terkesan dengan krisis ekonomi dunia dalam sub-prima krisis yang melibatkan kejatuhan perbankan dunia namun Dubai bangkit dalam kadar pertumbuhan yang agak sederhana.

Ini tidak menghalang infrastruktur bangunan yang sedia ada menjadi tarikan.

Dubai juga menarik dari sudut populasi kerana majoriti penduduknya adalah pekerja asing daripada pelbagai sektor.

Pekerja Malaysia di pelbagai sektor saja ada hampir 15,000 orang namun undang-undang ketat di Dubai boleh sahaja mematikan visa pekerja seseorang walaupun sudah beberapa tahun melabur di sana.

Salah seorang yang menduga nasib di sana ialah peguam muda yang telah pun mengukir nama di Malaysia dan kini bertindak sebagai konsultan perundangan dan pelaburan untuk pelabur-pelabur dari Dubai datang ke Malaysia.

Air pancut berirama

Hari Jumaat malam Sabtu memang hari para pekerja pelbagai warganegara turun bersiar di sekitar Dubai Mall. Tempat menarik ialah tasik besar yang dihias dengan pancutan air berirama.

Lagu suprano dan rentak baili Arab dan Cina menguasai sekitar dataran sambil pancutan air mengikut rentak lagu setiap setengah jam.

Orang ramai berpusu-pusu di dataran dan sekitarnya sedangkan kami menikmati makan malam bersama orang ramai walaupun semasa pertunjukan pancutan air berirama semua perbualan terpaksa diberhentikan kerana terlalu kuat bunyinya.

Kami bergegas setelah menikmati perbualan dari pelbagai tajuk termasuk politik dalam suasana tanpa tekanan dan jam 10.00 malam waktu tempatan kami sudah berada di terminal bersedia untuk ke Tehran.

Dingin malam Tehran

Pada jam 2.45 pagi, pesawat EK975 mendarat di Imam Khomeni International Airport dalam suasana yang penuh kedinginan.

Kami dibawa ke bilik VIP untuk menunggu urusan bagasi sementara diperkenalkan kepada pihak kedutaan yang menanti kami.

Setiausaha pertama Muhammad Ridzuan Abu Yazid memberikan sedikit taklimat melalui soal jawab kami tentang negara Iran dan beberapa isu keselamatan.

Selesai urusan, kami bersedia menuju ke tempat konferensi iaitu di Chamran yang memakan masa satu jam untuk ke sana.

Di luar cuaca amat sejuk mencecah 5 selsius seoalah-olah kami berada dalam bilik berhawa dingin pada tahap minimum sejuk.

Bezanya kami tak boleh keluar kerana keseluruhan bumi Iran berada pada penghujung musim sejuknya.

Nasib baik isteri saya menyediakan jaket tebal dalam bagasi tangan saya, sekurang-kurangnya kemeja tangan pendek yang saya pakai sejak kelmarin mendapat ‘perlindungan’ dari cuaca sejuk yang tidak mengenali mangsa.

Nyatakan sikap M'sia

Jadual kami sebenarnya lambat satu hari. Jadi kami tiada waktu rehat kerana pagi 15 Februari 2014 pukul 9 pagi waktu tempatan mesyuarat jawatankuasa pengkhususan akan bermula.

Kami sampai di Hotel Azadi pukul 5.30 pagi, waktu sarapan pukul 7.30 dan mesyuarat bermula pukul 9.00 pagi.

Jadual agak ketat jadi saya ambil keputusan untuk tidak rehat apatah lagi saya perlu membaca “talking points” untuk mesyuarat nanti.

Saya diminta berada dalam Jawatankuasa Budaya, Dialog Tamadun dan Agama dan Malaysia menduduki jawatankuasa sebagai anggota tetap yang diputuskan dalam mesyuarat di Palembang pada tahun 2012.

Jawatankuasa lain ialah Jawatankuasa Ekonomi dan Alam Sekitar, Jawatankuasa Politik dan Demokrasi dan Jawatankuasa Hak Wanita dan Kekeluargaan.

Reezal berada dalam Jawatankuasa Ekonomi dan Persekitaran, Ismail dalam Jawatankuasa Politik dan Demokrasi manakala Mas Ermieyati dalam Jawatankuasa Wanita dan Keluarga.

Jam 9.00 pagi, saya sudah berada dalam bilik mesyuarat Zamrud untuk menyatakan sikap Malaysia dalam isu-isu berkenaan jawatankuasa saya.

Bahagian I: Kembali ke Iran

ADS