Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Panglima nafi sebut MH370 menuju Selat Melaka
Diterbitkan:  Mar 12, 2014 12:25 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Rodzali Daud meminta akhbar Berita Harian membetulkan laporan mereka yang mendakwa radar tentera mengesan pesawat MH370 berpatah balik dan terbang ke arah Selat Melaka.

Laporan The Malaysian Insider yang memetik kenyataan Rodzali menyebut, panglima TUDM tersebut tidak pernah menyatakan sedemikian.

“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak membuat apa-apa kenyataan seperti di atas. Apa yang berlaku adalah wartawan Berita Harian bertanya sekiranya kejadian itu berlaku seperti dilaporkan dalam laporan mereka.

“Bagaimanapun saya tidak menjawab soalan mereka. Bagaimanapun, saya tidak memberi apa-apa jawapan kepada soalan tersebut,

“Sebaliknya, apa yang saya beritahu wartawan itu adalah 'tolong rujuk kepada kenyataan yang saya buat pada 9 Mac 2014 semasa sidang media bersama Ketua Turus Angkatan Tentera di Hotel Sama-sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” kata Rodzali seperti dipetik dalam laporan portal berita tersebut.

Laporan Berita Harian semalam menyebut, Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura turut menerima isyarat bahawa pesawat tersebut berpatah balik dan tiba-tiba terbang rendah dari ketinggian 10,000 meter ke 1,000 meter.

Ia seterusnya menyebut Rodzali mengesahkan bahawa pengkalan udara Butterworth mengesan isyarat bahawa pesawat tersebut berpatah balik ke laluan asalnya.

Pesawat itu dilaporkan melalui Kota Bharu, Kelantan, dan ruang udara Pantai Timur dan Utara.

“Kali terakhir pesawat itu dikesan berada berhampiran Pulau Perak, di perairan Selat Melaka pada jam 2.40 pagi, Sabtu lalu, oleh menara kawalan udara berhampiran sebelum isyarat hilang tanpa sebarang petunjuk,” katanya.

Akhbar itu seterusnya melaporkan, penduduk dalam laporan polis mendakwa melihat "kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah" di Kota Bharu, Kelantan.

ADS