Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pembentukan pasukan bola sepak tempatan bertaraf kebangsaan di Kajang antara taruhan calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk berdepan BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Usaha itu dilihat bagi memikat golongan menambat hati anak muda dalam pertarungan menentang lawannya Chew Mei Fun yang juga naib presiden MCA.

Pengarah Strategi Rafizi Ramli, berkata, selain berusaha membolehkannya beraksi di Liga Malaysia, ia sekali gus menjadikan Stadium Kajang digunakan sebaiknya untuk perlawanan dan latihan.

"Di Kajang ada stadium Kajang yang tidak dimaksimakan dari segi penggunaannya.

"Jadi satu manifesto yang akan diusahakan oleh Dr Wan Azizah, iaitu untuk membawa satu pasukan bola sepak beraksi ke Liga Malaysia dari Kajang,” katanya.

Sindir menteri sukan

Rafizi berkata demikian bagi memperincikan empat teras yang terkandung dalam “Manifesto Kajang” yang dilancarkan Wan Azizah hari ini di Bilik Gerakan Utama PKR Kajang.

PKR juga mencetak manifesto berkaitan bola sepak dengan aksi Wan Azizah menyepak bola dengan berkain dan berbaju kebarung.

Aksi itu diperhatikan sekumpulan pemain bola sepak yang kelihatan tersenyum.

Dalam sidang media itu, Rafizi ( kanan ) juga sempat menyindir sinis Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya bersaing dengan pasukan boleh sepak yang akan dibentuk itu.

"Ini menjadi satu perkara yang menarik sebagai contoh, Dr Wan Azizah mahu mengetuai pasukan bola sepak.

Manifesto juga menggariskan pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalu lintas, membanteras jenayah, meningkatkan keselamatan dan pembangunan serta penyenggaraan perbandaran.

Menurut Rafizi, manifesto itu dicetak 80,000 keping berbentuk poskad untuk diedarkan kepada pengundi, khususnya golongan muda.

Lantik jururunding bebas

Sementara itu, Rafizi berkata, Wan Azizah akan cuba menyelesaikannya termasuk masalah sampah dan sisa pepejal dengan meminta kerajaan negeri menyediakan fasiliti lebih mesra alam.

Malah, Rafizi juga berkata Wan Azizah berusaha untuk melantik jururunding bebas untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di bandar Kajang.

"Beliau juga akan memimpin satu pasukan untuk merangka pelan trafik di Kajang menjelang 2018. Kita berharap ada perubahan besar di Kajang," katanya.

Mengulas mengenai kejadian banjir di bandar itu, Rafizi berkata berdasarkan kaji selidik, ia berlaku disebabkan masala pembinaan di kawasan itu.

Malah, katanya lagi, spesifikasi saluran, longkang dan saliran yang dibuat lama dahulu tidak cukup untuk menampung populasi penduduk yang meningkat dalam DUN Kajang.

"Kita perlu mengenal pasti kawasan yang berkepentingan untuk diperbesarkan," kata Rafizi.

ADS