Forum media: Zam tidak terlibat tetapi dijemput
Akhbar Harakah mengesahkan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin tidak terlibat sebagai ahli panel bagi membincangkan isu kebebasan media di negara ini.
Akhbar Harakah mengesahkan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin tidak terlibat sebagai ahli panel bagi membincangkan isu kebebasan media di negara ini.
Bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), akhbar tabloid PAS itu menganjurkan forum tersebut pada 2 Mei ini sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut keesokan harinya.
"Jika beliau menafikan penglibatan dalam forum ini, benarlah... tetapi sekiranya beliau menafikan menerima jemputan kita (penganjur), itu adalah satu pembohongan," jelas editor Harakah , Zulkifli Sulong kepada malaysiakini .
Zainuddin hari ini menafikan laporan akhbar The Star yang menyebutkan beliau akan menyertai forum tersebut.
"Saya menafikan laporan tentang pembabitan saya dalam forum yang dikendalikan oleh Harakah dan Kami," katanya kepada agensi berita Bernama hari ini.
Zulkifli menjelaskan, penganjur telah menghantar surat jemputan kepada Zainuddin tetapi Harakah dimaklumkan setiausaha parlimen itu tidak dapat hadir kerana terpaksa ke Sarawak pada hari tersebut
Dua wakil media perdana lain yang turut dijemput adalah Pengurus Besar Kanan TV3 Chamil Wariya dan Pengarang Berita The Star Wong Chun Wai tetapi kedua-duanya turut tidak dapat menyertai forum itu.
"Wong menjelaskan beliau akan ke luar negeri, sementara Chamil digantikan oleh Wee Yew Meng," ujar Zulkifli.
Kebebasan 'acuan Malaysia'
Bagaimanapun Wee memberitahu tidak dapat hadir kerana perlu hadir dalam satu acara lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Zulkifli berkata setakat ini hanya dua wakil media alternatif bersetuju menyertai forum tersebut dan pihak penganjur masih belum mendapatkan keputusan muktamad dari tiga ahli panel media arus perdana untuk menyertai forum tersebut.
Beliau enggan menyebut nama tiga wakil media perdana itu kerana tidak mahu pihak-pihak tertentu memberikan tekanan.
Wakil media alternatif yang telah bersetuju menyertai forum tersebut adalah penulis kolum dan Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia Rustam A Sani dan penulis politik, yang juga jurucakap Kami, Ahmad Lutfi Othman.
Acara itu yang diadakan jam 8 malam di Hotel Vistana, Kuala Lumpur akan dipengerusikan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abdul Aziz Bari.
Pada malam tersebut, anugerah tokoh kebebasan media negara akan turut disampaikan, jelas Zulkifli dan menjangkakan majlis itu akan disertai seramai 150 wakil media.
"Kita hendak tahu pandangan kedua-dua belah pihak," katanya lagi, apabila ditanya matlamat menemukan kedua wakil media itu.
Beliau menambah forum tersebut juga hendak mencapai persefahaman di kalangan pengamal media sejauh mana yang dikatakan kebebasan media mengikut "acuan Malaysia."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.