Keluarga, Suhakam boleh lawat tahanan ISA
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan anggota keluarga akan dibenarkan bertemu 10 orang pemimpin pembangkang dan aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak tiga minggu lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Mat Zin memberikan jaminan demikian semasa menjawab soalan Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) tengahari tadi.
"Kalau tidak berlaku (dibenarkan), YB (Yang Berhormat) boleh maklumkan kepada saya," kata Zainal semasa sidang membahaskan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).
Beliau bagaimanapun tidak memberikan jaminan tarikh keluarga-keluarga tahanan itu dibenarkan melawat.
Dalam soalannya, Kerk mempertikaikan "dasar baru" kerajaan kerana menurutnya, sebelum ini anggota keluarga dibenarkan melawat tahanan selepas tujuh sehingga 14 hari ditangkap.
Beliau memberikan contoh, keluarganya dibenarkan melawat selepas seminggu ditahan ketika Operasi Lalang pada 1987, keluarga Lim Guan Eng dibenarkan berbuat demikian selepas tempoh 10 hari, dan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) selepas ditahan selama dua minggu.
Sementara itu di luar dewan, keluarga-keluarga tahanan datang untuk menyerahkan memorandum berhubung isu tersebut. Memorandum dua halaman itu ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor dan Speaker dewan Tun Mohamad Zahir Ismail.
"Polis mempunyai pegawai cukup terlatih. Kenapa mengambil masa begitu lama untuk menyelesaikan siasatan," soal Fadzil, selepas menerima memorandum itu daripada Bahirah Tajul Aris, isteri Ketua Pemuda Keadilan Mohamad ezam Mohd Nor.
Dalam memorandum itu, keluarga-keluarga itu merayu Dewan Rakyat membenarkan mereka melawat tahanan dan membenarkan aktivis politik itu mendapat khidmat guaman, selain mengulangi gesaan agar tahanan itu dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah.
"Ada antara mereka seperti diculik apabila hilang begitu sahaja tanpa sebarang saksi. Ada antara mereka yang ditahan oleh individu-individu yang enggan memperkenalkan diri atau menunjukkan kad kuasa," memo itu dipetik. "Kami amat bimbang keadaan mereka."
Sementara Marina Abdullah, isteri Pengarah Kempen Bebaskan Anwar (FAC) Raja Petra Raja Kamarudin, berkata mereka telah menghantar surat kepada Mohamed Zahir tetapi tiada jawapan hingga kini.
Dr Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) berkata permohonan keluarga-keluarga sepatutnya dipertimbangkan selepas permohonan untuk membahaskan isu itu Mahfuz ditolak untuk dibahaskan.
"(Sekiranya) pihak berkuasa membenarkan mereka berjumpa suami masing-masing, ini akan melenyapkan kecurigaan dan memberi rasa kemanusiaan," kata Wan Azizah dalam sidang media itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.