Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Hindraf: Serbuan JAIS cabul perlembagaan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) mengutuk serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut agama Hindu yang disifatkan sebagai satu bentuk pencabulan perlembagaan.

Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, operasi melibatkan penahanan pengantin wanita itu juga menunjukkan sikap tidak menghormati sensitiviti orang bukan Islam.

“Serbuan itu menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan mengganggu ketenangan suasana dalam masyarakat pada waktu itu.

“Tindakan JAIS jelas menunjukkan tidak menghormati sensitiviti bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka.

“Perbuatan ini jelas menunjukan mereka sudah melampaui batas bidang kuasa mereka,” katanya seperti dipetik dari kenyataan medianya.

Waytha mempertikaikan peruntukan undang-undang yang digunakan JAIS ketika menyerbu dan menahan pengantin wanita itu.

Katanya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) 1988 itu tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian di tempat beribadat agama Hindu itu.

“Akta ini tidak memberi apa-apa jenis hak pada JAIS untuk menyerang kuil dan menghentikan perkahwinan Hindu daripada berlaku. Akta itu sendiri sudah jelas,” katanya.

Laporan terdahulu

JAIS tahan pengantin di acara kahwin Hindu