Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

JAIS tahan pengantin di acara kahwin Hindu

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang pengantin wanita perkahwinan tersebut sedang berlangsung bersama pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu.

Laporan Sinar Harian menyebut, wanita berusia 32 tahun yang lengkap berpakaian pengantin itu ditahan oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira jam 10 pagi.

Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan, semalam.

Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi kerjasama baik, lapor akhbar tersebut.

JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

Laporan yang memetik satu sumber tidak dinamakan itu menyebut, bapa wanita tersebut yang beragama Hindu sebelum ini menukar agama wanita berkenaan kepada Islam.

“Wanita itu tidak mengetahui bapanya mendaftarkan dia dan tiga adik-beradiknya sebagai beragama Islam.

“Wanita itu hanya mengetahui perkara itu selepas saudara terdekat melihat sijil kelahiran (status agama) mereka tercatat agama Islam,” kata sumber berkenaan seperti dipetik akhbar harian itu.

Sumber itu juga menyebut pengantin berkenaan serta adik beradik mereka dibesarkan oleh ibu mengikut ajaran Hindu setelah lelaki berkenaan meninggalkan keluarga berkenaan sejak pengantin wanita itu masih kecil.

Menurut sumber itu lagi, pengantin wanita itu pernah memohon penukaran status agama di Mykad pada tahun 2007 namun tidak berjaya kerana penukaran tersebut memerlukan tandatangan bapanya.

Menurut sumber itu, pengantin wanita tersebut melakukan permohonan sekali lagi pada April lalu.