Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ekoran tindakan tatatertib pada 25 mahasiswa daripada tiga universiti atas pelbagai tuduhan, kumpulan pelajar menuntut dua akta yang berkait rapat dengan pentadbiran pusat pengajian tinggi dimansuhkan.

Bagi tujuan itu, Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) hari ini hadir di parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat supaya meneliti tuntutan mereka itu.

Mereka mahukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dimansuhkan atas alasan mengekang hak asasi mahasiswa.

Pengerusi GMMA Khairol Najib Hashim dalam memorandum itu membangkitkan tindakan tatatertib menggunakan dua akta itu di tiga univerisiti awam – Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah Labuan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara pertuduhan dikenakan ialah menyertai perhimpunan tanpa kebenaran universiti, melanggar dan menjejas nama universiti serta membuat kenyataan di Facebook yang didakwa menggugat kepentingan universiti.

Khairol berkata, pindaan terhadap AUKU pada 2012 masih tidak cukup untuk membebaskan mahasiswa daripada undang-undang mengekang universiti.

"Biarpun peruntukan paling konservatif dalam AUKU sudah dimansuhkan iaitu sekatan terhadap mahasiswa untuk berpolitik, tetapi AUKU masih memberi kekebalan kepada pihak pengurusan universiti untuk menggubal peraturan yang bersifat drakonian dan mengongkong," katanya dalam memorandum itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini awal petang ini, Khairol berkata, antara yang menerima memorandum itu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut).

Turut menerimanya di lobi Parlimen ialah Tan Sri Shahrir Samad (BN-Johor Baharu), Teo Nie Ching (DAP-Kulai), Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS