Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini MP Kelana Jaya Wong Chen mengingatkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal menjadi badan pelaburan seakan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan cadangan meminda Akta LHDN 1995.

Wong berkata pindaan ke atas Rang Undang-undang LHDN akan menubuhkan satu panel pelaburan yang membolehkan kerajaan membeli saham, bon, dan juga hartanah menggunakan hasil kutipan cukai.

"Jika rang undang-undang itu diluluskan, ia pada dasarnya akan mengubah LHDN kepada satu badan pelaburan seakan 1MDB di bawah kawalan peribadi Menteri Kewangan.

"Inisiatif ini oleh menteri kewangan atau perdana menteri adalah sangat luar biasa, melemahkan demokrasi dan tidak mempunyai ketelusan dan akauntabiliti," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Wong menjelaskan pindaan itu akan memberi kuasa kepada menteri kewangan yang kini disandang perdana menteri,  melantik enam daripada tujuh ahli panel pelaburan LHDN yang berkuasa berkaitan pelaburan badan itu.

"Cadangan ini akan mengambil kuasa pelaburan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kuasa ini diberikan kepada Panel Pelaburan di mana enam dari tujuh ahli dilantik secara langsung olehnya (menteri kewangan).

"Oleh itu, ini adalah satu percubaan mengambil alih kuasa pelaburan wang pembayar cukai oleh menteri kewangan dengan menggunakan nama baik LHDN.

"Tindakan ini bakal melemahkan demokrasi kerana ia akan menyembunyikan wang cukai rakyat daripada penelitian Parlimen," katanya.

Wong turut menyatakan kerisauannya terhadap cadangan langkah itu yang membolehkan menteri kewangan mempunyai kuasa mutlak dalam perbelanjaan luar bajet yang tidak dipantau secara langsung oleh parlimen.

"Jika Menteri Kewangan mempunyai kuasa yang tidak terhad untuk menggunakan dan mengalihkan cukai kita untuk pelaburan, kita pasti akan melihat penurunan perbelanjaan perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan.

"Kami juga sangat risau mengenai isu akauntabiliti dan ketelusan Panel Pelaburan. Tiada klausa cadangan ketelusan dan akauntabiliti di dalam rang undang-undang tersebut," katanya.

ADS