Stesen TV3 tidak akan dijual kepada syarikat asing walaupun mengalami kerugian sebanyak RM700 juta, jamin Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus hari ini di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Husam Musa (PAS-Kubang Kerian) yang ingin mengetahui kedudukan stesen televisyen swasta itu.

"TV3 berhutang (sebanyak) RM700 juta, ini menyebabkan stesen itu akan runtuh," katanya, sambil menambah stesen itu juga mempunyai tunggakan hutang telefon sebanyak RM24 juta.

Wakil rakyat PAS itu bertanya lagi sama ada wujud klausa dalam perjanjian penswastaan stesen penyiaran bahawa syarikat itu tidak boleh dibeli oleh syarikat asing.

Ketika menggulung perbahasan mewakili kementeriannya, Khalid berkata stesen televisyen tidak boleh diambil oleh syarikat luar negara.

Husam yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu terus mempersoal adakah terdapat peruntukan tersebut. Beliau memberikan contoh kenyataan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang menyebutkan syarikat penerbangan MAS akan dijual kepada syarikat asing.

"Tak mungkin YB (Yang Berhormat)," kata Khalid lagi.

Dr Hassan Ali (PAS-Parit Buntar) pula membahaskan dasar penapisan yang diamalkan oleh kementerian tersebut.

"(Sebuah rancangan televisyen) 'Sweet Season' di NTV7 memaparkan hubungan anak luar nikah, memaki-hamun bapa sendiri," kata Dr Hassan lagi, dan menambah banyak babak yang menyebabkan keruntuhan nilai institusi kekeluargaan.

Beliau menambah mengapa adegan ganas seperti program gusti WWF yang membenarkan ahli gusti lelaki dan wanita berpakaian seksi boleh diluluskan.

"Setiap stesen ada wakil lembaga penapis sendiri. Saya akan membangkitkan perkara ini. Saya pun tidak berapa setuju," kata timbalan menteri itu lagi.

Mohd Ali Hassan (BN-Tebrau) bangun dan membantah supaya rancangan gusti tidak dipotong.

"Gusti perempuan tidak apa dipotong. Kalau dipotong, semua (orang) akan marah dengan kerajaan Barisan (Nasional)," katanya, disambut ketawa sidang dewan.