ISA: Suhakam masih bincang dengan polis
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) belum dibenarkan melawat 10 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi terus berbincang dengan polis agar dibenarkan berbuat demikian.
Setiausaha Suhakam Kamaruddin Baria berkata suruhanjaya itu tidak berputus asa.
"Perbincangan akan (terus) menyusul dengan pegawai-pegawai atasan polis," katanya kepada malaysiakini .
Setakat ini, katanya lagi, polis telah menjawab surat Suhakam dan menyatakan badan hak asasi itu dibenarkan melawat pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi yang sedang ditahan itu selepas siasatan selesai.
Surat tersebut diserahkan kepada Pengerusi Suhakam Tan Sri Musa Hitam minggu lalu.
Di bawah seksyen 4 (2) (d) dan 4 (3) akta penubuhannya, Suhakam dibenarkan melawat tahanan.
Bagaimanapun polis telah mula membenarkan anggota keluarga-keluarga bertemu dengan tahanan mulai semalam. Setakat tengahari ini, empat tahanan dibenarkan dilawati keluarga masing-masing.
Pertemuan pertama dibenarkan kepada Marina Abdullah, isteri pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini ditahan selama 23 hari.
Pada jam 3 petang nanti, isteri pemimpin Parti Keadilan Nasional Dr Badrul Amin Baharom dijadualkan bertemu suaminya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah.
Dr Badrul Amin ditahan di rumahnya di Kepong, Selangor pada 20 April lalu.
Sementara pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib dan aktivis Pemuda Keadilan Lokman Noor Adam masing-masing dibenarkan berbuat demikian pada Isnin dan Selasa depan.
Saari ditahan di rumahnya 10 April lalu, manakala Lokman ditahan di Shah Alam pada 24 April.
Enam lagi yang turut ditahan adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda parti itu Mohamad Ezam Mohd Nor, N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail.
Semua mereka, kecuali Badaruddin pada 26 April, ditahan sejak 10 April.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.