Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Augustine Paul hari ini membenarkan wakil Majlis Peguam bertindak sebagai pemerhati dalam kes Akta Hasutan terhadap peguam Karpal Singh tetapi mengarahkan wakil majlis itu agar tidak "mencampuri" perbicaraan.

Sebelum membenarkan dua orang wakil majlis itu, Augustine berkata kedua-dua orang wakil itu hadir atas kapasiti individu yang "bebas."

Pemerhati yang juga Presiden Majlis Peguam Mah Weng Kwai berkata beliau menghormati keputusan mahkamah tetapi kehadiran beliau berdasarkan kepentingan awam dan kepentingan ahli majlis tersebut.

"Masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza berasaskan kepada kebenaran," kata seorang lagi pemerhati, Roy Rajasingam kepada mahkamah.

Augustine mempersoalkan sama ada wakil-wakil tersebut boleh memainkan peranan sebagai peguam bebas dengan merujuk resolusi yang diputuskan Majlis Peguam tahun lalu.

Pada Mac, badan itu mendesak Peguam Negara menggugurkan dakwaan terhadap Karpal. Badan itu berpendapat adalah tidak adil dan berbahaya kepada kerjaya guaman jika seseorang peguam boleh disabitkan sesuatu kes jenayah apabila berhujah di mahkamah.

Karpal, yang duduk di kandang tertuduh, berkata soal kebebasan bukanlah isu utama kerana beliau pernah juga mewakili kes-kes lain yang melibatkan kepentingannya.

Augustine kemudian menjelaskan walaupun undang-undang tidak membenarkan, beliau akan membenarkan sambil berkata "saya tidak benarkan anda berhujah,".

Racun arsenik

Wakil Persatuan Peguam Antarabangsa, Wong Hin Lee turut hadir sebagai pemerhati antarabangsa.

Sebelum itu beberapa pertubuhan-pertubuhan peguam antarabangsa mengecam pendakwaan itu dan mendesak pertuduhan terhadap Karpal digugurkan.

Karpal didakwa pada 14 Januari tahun lalu berhubung kata-katanya ketika perbicaraan liwat anak guamnya bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September, 1999.

Peguam bela itu mendakwa "mereka di peringkat atasan" cuba membunuh Anwar apabila ujian di sebuah makmal di Australia mendapati badan bekas pemimpin Umno mengandungi racun arsenik.

Karpal ditahan pada 12 Januari sebelum didakwa di bawah seksyen 4 (1) akta itu dan kemudiannya dibebas dengan ikat jamin RM3,000. Sekiranya sabit kesalahan, peguam kanan itu boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara.

Dalam sebutan kes pagi tadi, hakim menetapkan 16 sehingga 31 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Karpal, yang Timbalan Pengerusi DAP, diwakili anak-anaknya Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh dan Ram Karpal. Sementara pendakwaraya Vong Poh Fah dan Jaghit Singh.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang turut hadir mendengar kes tersebut termasuklah Pengerusi DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusinya Lim Guan Eng, Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Mohamed Azmin Ali dan tujuh anggota Dewan Rakyat bagi DAP.