Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tidak semua pengkritik tidak berpuas apabila Tanda Putra tidak dicalonkan juri sebagai filem terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 yang dijadual bulan depan.

Bagi pengkritik filem Fadli al-Akiti, ia sebaliknya keputusan tepat – pendirian yang berbeza sekali dengan pendapat pengulas veteran Mustafar AR dalam Utusan Malaysia semalam.

"Tanda Putera bukanlah filem terbaik Malaysia tahun lepas. Mustafar dan mana-mana pemerhati filem perlu akur dengan hal itu," kata penulis buku kritikan Tonton Filem itu.

Menurut Fadli, filem biografi berkaitan Tun Razak, perdana menteri kedua arahan Datuk Shuhaimi Baba itu, longgar, mempunyai cerita "berselerak" serta mempunyai babak tergantung.

"Terlalu banyak peristiwa besar tanpa narator utama yang tertumpu seperti kebiasaan filem biografi sejarah yang biasa, contohnya filem The Last Emperor yang jelas-jelas naratornya ialah Pu Yi, raja terakhir China.

"Tentulah penelitian para juri juga bukan hanya dari sudut gagasan dan pemikiran, tetapi bahasa filem, persembahan, plot mantap, kekuatan teknik yang menguatkan penceritaan, dan penyampaian cerita yang baik," katanya.

Mustafar dalam artikel bertajuk “FFM26 semakin mengarut” semalam antaranya mempertikai mengapa FFM kali ini lebih memberi penghargaan kepada filem lain yang “tidak patriotik”.

'Logik tak dapat dibendung'

Beliau secara sinis mencadangkan nama FFM26 ditukar kepada “Festival Filem Seram”, Sakit Jiwa dan Ganas Malaysia” berdasarkan genre filem yang disenaraikan dalam kategori filem terbaik itu.

Ketidakpuasan hari itu dinyatakan ekoran juri memilih Penanggal, KIL, Sembunyi: Amukan Azazil, Rock Oo! dan KL Gangster 2 untuk dipilih sebagai filem terbaik.

Menjawab soalan Malaysiakini, Fadli berkata, genre sesebuah filem tidak memberi jaminan untuk menarik emosi penonton dan menghidangkan sesuatu yang logik.

Beliau memberi contoh penggunaan watak polis yang sama dalam beberapa tempat berbeza di seluruh kota sewaktu berlakunya 13 Mei dalam Tanda Putera.

Katanya, ia mencacatkan terus filem itu kerana “logiknya tidak dapat dibendung” dan ia “memalsukan emosi dan cicipan estetika” buat penonton.

"Memang jelas, walaupun Sembunyi: Amukan Azazil, contohnya, filem 'seram' tetapi filem itu jauh lebih baik daripada Tanda Putera, kerana penceritaannya lebih terjaga, tertumpu, dan kita sendiri dapat lihat perkembangan watak dan perjalanan ceritanya.

“Malah lakon layar yang ditulis oleh Alfie Palermo itu mempunyai timbulan dramatik, nilai kemanusiaan, dan kejutan yang menarik bagi filem Malaysia, bukan sebuah filem seram yang tipikal.,” katanya.

Ditonton dengan curiga

Justeru, kata Fadli, kadangkala festival filem antarabangsa juga memberi ruang kepada filem seram, seperti The Exorcist, Rosemary's Baby, Alien, dan Cronos.

Editor majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu juga turut berkata, gagasan patriotisme yang dibawa Tanda Putera tidak digarap dengan baik.

Katanya, gagasan sesebuah filem perlu diseimbangkan dengan cerita dan penyampaian atau ia akan menjadi sebuah filem propaganda.

"Dan selalunya, filem propaganda merupakan filem yang ditonton dengan curiga dan disoal oleh penonton zaman sekarang.

"Filem Leftenan Adnan, contohnya, berjaya mengimbangi maksud gagasan patriotisme, dengan cerita yang tidak kekok (walaupun dengan sengaja mengubah beberapa fakta sejarah atas nama seni) dan penyampaian yang amat baik," katanya.

Tanda Putera mengisahkan persahabatan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail yang mengetepikan masalah kesihatan bagi memulihkan keadaan negara selepas insiden 13 Mei 1969.

Filem yang ditayangkan tahun lalu itu mengundang kontroversi selepas dikritik memberi gambaran negatif mengenai DAP dalam insiden kekecohan kaum antara Melayu dan Cina itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS