Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanda Putra tak tercalon filem terbaik dipertikai
Diterbitkan:  Sep 28, 2014 2:55 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Pengulas filem veteran Mustafar AR mempertikaikan mengapa filem biografi Tanda Putera tidak dicalonkan sebagai filem terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 yang dijadualkan bulan hadapan.

Menulis di Utusan Malaysia, beliau mempertikaikan mengapa FFM edisi kali ini lebih memberi penghargaan kepada filem lain yang “tidak patriotik”.

"Apa sudah jadi? Kalau begitu baik FFM26 ditukar saja kepada Festival Filem Seram, Sakit Jiwa dan Ganas Malaysia,” sindirnya.

Katanya, sepatutnya Tanda Putera dicalonkan sebagai filem terbaik dan pengarahnya Shuhaimi Baba sebagai calon pengarah terbaik.

“Panel juri tidak boleh mencampur adukkan kontroversi sehingga memandang remeh temeh filem tersebut," kata beliau dalam sisipan Pancaindera hari ini.

Bekas wartawan Utusan yang pernah berkhidmat selama 30 tahun itu juga mempertikaikan lima filem lain yang dicalonkan sebagai filem terbaik atas alasan tidak membawa mesej baik kepada penonton, khususnya orang Melayu.

Katanya, keputusan juri memilih Penanggal, KIL, Sembunyi: Amukan Azazil, Rock Oo! dan KL Gangster 2 mencetuskan kebimbangan tentang arah haluan filem Malaysia.

"Dalam soal ini syarikat yang membuat filem begitu, tidak bersalah kerana mencari keuntungan dan itulah corak filem yang orang Melayu suka.

"Persoalannya, kenapa panel juri memilih filem-filem tersebut untuk dicalonkan kerana pengiktirafan ini akan menggalakkan lebih banyaak lagi filem yang serupa dikeluarkan," kata penulis buku Filem-filem P Ramlee itu.

Tanda Putera mengisahkan persahabatan perdana menteri kedu, Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail yang mengetepikan masalah bagi memulihkan keadaan negara selepas insiden 13 Mei 1969.

Filem yang ditayangkan tahun lalu itu mendapat kontroversi selepas dikritik memberi gambaran negatif mengenai DAP dalam insiden kekecohan kaum itu.

Senarai akhir calon FFM26 diumumkan 15 Ogos lalu dengan filem pertama arahan sutradara wanita Ellie Suriaty Omar berjudul Penanggal mendominasi pencalonan dengan 15 pencalonan daripada 24 kategori.

Walaupun tidak tercalon untuk filem terbaik, Tanda Putera dicalonkan untuk sembilan lagi kategori, termasuk Pereka Busana Terbaik, Kesan Khas Terbaik, Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Senimatografi Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Lihat Komen
ADS