Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataan kontroversi Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang menggesa supaya Bible berbahasa Melayu dibakar.

Bekas perdana menteri berkata, kenyataan itu bukan menghasut.

Sebaliknya, kata Mahathir, gesaan Ibrahim itu “sesuatu yang diterima orang Islam” yang membakar al-Quran lama yang tidak lagi digunakan.

“Bukan niatnya (Ibrahim) untuk memprovokasi pertembungan antara orang Islam dan bukan Islam,” katanya kepada pemberita.

Mahathir yang juga penaung PERKASA bagaimanapun enggan mengulas keputusan peguam negara yang memutuskan untuk tidak mendakwa Ibrahim bawah Akta Hasutan 1948.

Mahathir berkata, orang Islam biasanya membakar al-Quran yang sudah sangat lama.

“Kita selalu membakar al-Quran, apabila al-Quran itu sudah terlalu lama. Sudah tentu kita tidak boleh membuangnya, jadi penyelesaian terbaik dengan membakar,” katanya.

Ibrahim pada 13 Oktober lalu dilapor menjelaskan seruan membakar Bible yang dibuatnya sebelum ini disalah tanggap.

Katanya, beliau menasihatkan ibu bapa Islam mengambil tindakan itu jika anak mereka menerima naskhah Bible berbahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah sahaja, lapor Utusan Malaysia.

Merujuk sikap pembangkang yang tidak berpuas hati apabila tiada tindakan diambil terhadapnya, Ibrahim berkata, kenyataan asalnya dikelirukan dan beliau merujuk kepada insiden di Pulau Pinang sahaja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen