Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di sebalik tindakan penyokong bola sepak JDT merentangkan tifo 'anjing' Sabtu lalu, terdapat penyokong Ultras Malaya mempertahankan tindakan itu, malah terus menyuarakan kritikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Salah seorang pengasas Ultras Malaya yang mahu dikenali sebagai 'Freddie' berkata banyak perkara menjadi rungutan di kalangan penyokong yang perlu tindakan segera badan tersebut.

Menjawab soalan Malaysiakini , beliau menjelaskan antaranya berkaitan pengurusan bola sepak, sering bertukar jurulatih, tahap kedudukan pasukan bola sepak dan masalah penajaan.

"Kita tidak berpuas hati dengan cara mengurus bola sepak negara. Takkan kita nak bertanding untuk Piala AFF (sahaja). Tak ada (layak ke) Piala Asia. AFC pun kita (masih) tak layak (lagi).

"Kita pun tak faham mengapa asyik bertukar jurulatih, kemudian (dia) dapat pingat datuk. Pemain dan pegawai asyik bertukar, tapi penyokong tetap orang yang sama.

"Walaupun ada yang (penyokong) kena tangkap, dia tetap turun (ke stadium), " katanya ketika dihubungi pagi ini.

Sabtu lalu, terdapat insiden penyokong JDT mengibarkan tifo anjing dalam pakaian berlogo FAM. Ia berlaku pada perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan Pahang yang berkesudahan skuad Harimau Selatan menewaskan skuad Tok Gajah 2-0.

Tindakan penyokong itu mencetuskan rasa tidak puas hati FAM dan ia diturunkan dalam tempoh sejam. Seramai 12 penyokong JDT selepas itu dirakamkan kenyataannya.

Mengulas lanjut, Freddie menggesa FAM mencari penaja untuk memberi "merit" kepada pasukan negara dan memperkenalkan tiket bermusim untuk liga tempatan sebagai usaha untuk menambah pendapatan persatuan bola sepak.

"Cara penjualan tiket juga, liga kita dah lama profesional, sepatutnya sudah muda tiket musim. Kalau ia dijual, ia sebagai satu cara untuk menambahkan pendapatan," katanya.

'Idea meja rundingan bullsh*t

Menyokong tindakan penyokong JDT itu, Freddie berkata secara peribadi langkah seumpama itu diambil sebagai cara meluahkan pandangan mereka terhadap FAM dan menganggap ia sebagai "jentikan" kepada persatuan itu.

"Kita tidak ada ruang untuk melontarkan pandangan. Kata-kata menggunakan medium seperti (dibawa ke) meja rundingan, itu semua bullsh*t .

"Hak kita di stadium, bola sepak hak rakyat. Di situlah kita lontarkan pandangan," katanya sambil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap siasatan pada 12 penyokong JDT.

Diminta mengulas kenyataan Setiausaha FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang dilapor berkata tindakan segelintir penyokong JDT merentang tifo itu sebagai tidak beradab , Freddie berkata tiada bezanya jika penyokong itu mempamerkan binatang lain seperti naga atau beruang.

"Ia tetap binatang. Tapi dalam masyarakat Melayu, anjing ini binatang yang haram.

"(Jadi) bagi saya, kita nak jentik sikit 'telur' (FAM). Kita berhak ke atas bola sepak negara," katanya.

Lihat Komen
ADS