BERITA

'Tidak Hadi, kempen kotor ada'

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Apr 2015, 4:56 pagi

Jawatankuasa Pemilihan PAS menegaskan pemilihan parti itu kali ini dicemari kempen kotor, walaupun presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan perkara itu itu.

Malah, kata pengerusi jawatankuasa itu Asmuni Awi keadaan sekarang lebih kotor berbanding dua tahun lalu.

Malah, katanya, beliau sendiri turut menerima aduan dan risalah yang memburukkan pemimpin tertentu.

"(Pemilihan) yang lalu tak nampak pun (kempen kotor), tapi kali ini hebat sangat. Tak tahu kenapa berlaku.

"Mungkin presiden tak tahu sebab dia tak ada maklumat.

"Tetapi orang mengadu pada saya dan risalah (memburukkan pimpinan) pun saya dapat sendiri ," katanya kepada Malaysiakini selepas sidang medianya di ibu pejabat PAS hari ini.

Hadi sebelum ini menyangkal dakwaan pemilihan parti dicemari kempen kotor dengan mengatakan sesiapa yang buat "kotor" tidak akan dipilih.

Dalam sidang media itu juga, Asmuni menjelaskan beliau turut menerima risalah yang dipos terus ke rumahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara itu juga telah dibawa ke Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya.

"Saya terima pelbagai risalah sama ada secara pos atau pelbagai cara yang lain. Peti surat rumah saya (ada risalah), tak tahu siapa hantar.

Adu Lembaga Displin

"Kami ambil maklum dan panjangkan pada Lembaga Disiplin dan harap akan ambil tindakan supaya sama-sama mencegah perkara seperti ini. Ia lebih kepada serangan peribadi," katanya lagi.

Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan apabila dikhuatiri serangan yang bersifat peribadi di media sosial dan risalah itu dibuat oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan terhadap PAS.

Malah, yang lebih membimbangkan, katanya, apabila kempen memburukkan pimpinan itu berlanjutan selepas muktamar.

"Tak pasti siapa punya kerja. Adakah dibuat oleh ahli PAS atau pihak yang nak menangguk di air keruh.

"Saya bimbang lepas muktamar ini akan ada pelbagai info yang diberi kepada Pusat, cawangan dan Dewan. Ini akan beri kesan tak baik pada parti.  

"Imej parti akan terjejas. Ini parti Islam jadi etika Islam itu kena ada," katanya lagi.

Sementara itu, Asmuni berkata jawatankuasa pemilihannya telah menerima sebanyak lima laporan berhubung kesilapan teknikal berkaitan perjalanan pemilihan di peringkat kawasan.

"Setakat ini pihak jawatankuasa secara rasmi dah terima dua laporan dan tiga laporan lagi Insya-Allah akan disampaikan kepada kami," katanya.

Asmuni turut mengingatkan, semua kertas pencalonan perlu dihantar selewatnya pada 30 April depan jam 11.59 malam.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.