BERITA

Hadi sangkal pemilihan dicemari kempen kotor

Yap Jia Hee

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Apr 2015, 12:30 tengahari

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyangkal bahawa proses pemilihan parti itu dicemari kempen kotor.

“Insya-Allah, tak ada, siapa buat kotor tak akan dipilih,” kata Hadi apabila ditanya wartawan dalam satu sidang media hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi dua hari lepas memberitahu Malaysiakini bahawa kempen kotor dalam pemilihan parti itu sudah bukan lagi rahsia.

Apabila mendengar soalan wartawan mengenai dakwaan Asmuni Awi itu, Hadi pada mulanya hanya berkata beliau tidak baca berita tersebut.

“Saya tak baca, saya tak tahu. Saya tak boleh komen sebab saya tak baca,” katanya.

Namun, apabila wartawan terus bertanya, baru Hadi menyangkal dakwaan itu.

Apabila ditanya tentang dakwaan Khalid Samad bahawa pimpinan baru yang dipilih perlu lebih baik berbanding yang sedia ada, Hadi bersetuju dengan pandangan Khalid Samad itu.

“Memang kena lebih baik, yang ada (sekarang) dah baik,” kata Hadi.

Mengenai calon pilihan raya kecil, Hadi enggan mengulas selanjutnya sebaliknya berkata beliau masih menunggu laporan daripada negeri.

Mengenai dakwaan bahawa Pemuda PAS akan boikot jika Presiden PKR Wan Azizah dijadikan calon Pematang Pauh, Hadi hanya menjawab: “Kita masih dalam Pakatan.”

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.