Most Read
Most Commented
Read more like this

Seorang tokoh veteran Umno mendakwa penubuhan PAS pada 1951 disokong penjajah Inggeris selepas kuasa Barat itu melihat Umno semakin kuat menuntut kemerdekaan.

"British (Inggeris) telah merestui penubuhan PAS setelah melihat Umno semakin kuat," kata tokoh penyelidikan Umno, Wan Mohd Mahyyiddin, sambil menambah rancangan Inggeris itu bertujuan memecahbelahkan umat Islam.

Beliau menjawab soalan seorang peserta dalam seminar sehari Puteri Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Mahyyiddin memberitahu, Ahmad Fuad yang mengetuai jawatankuasa ulama Umno telah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) di tangan Tunku Abdul Rahman Putra Ogos tahun itu dan kemudiannya keluar menubuhkan PAS.

"Siapa yang tidak tahu sejarah akan didera oleh (kesilapan) sejarah," katanya.

Mengenai rawatan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Wan Mahyyiddin berkata: "Kalau dirawat di luar, (dikhuatiri) ada helah politik. Beliau (Anwar) bukan setakat menerima rawatan, tetapi jelajah negara-negara lain, berkempen politik. Jadi, rawatan itu hanya satu helah."

"Jika (Anwar) tubuh kerajaan buangan, (ia akan menimbulkan) kesusahan kepada kerajaan Malaysia. Memang kuasa-kuasa asing tidak senang dengan kita," katanya lagi, sambil mendakwa negara-negara luar memberikan sokongan penuh kepada pembangkang.

Beliau melahirkan rasa bimbang dengan aliran politik pembangkang itu dan mempersoalkan sama ada pembangkang akan tunduk desakan negara-negara asing apabila diberikan kuasa pemerintahan nanti.

Beliau juga mendakwa pembangkang kini giat mencari sokongan dan kerjasama negara asing.

Bersama Umno selama 35 tahun, tokoh itu turut membidas pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.

"Sesetengah mahasiswa berlagak macam ular sawa," kata Wan Mahyiddin, merujuk golongan yang menggesa kuota kemasukan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dihapuskan.

Islam tiada hak istimewa

Katanya, sistem kuota menyebabkan pihak tertentu mendakwa "dasar Umno tidak betul, sudahlah orang Melayu lembab, tidak kompetitif (mampu bersaing)."

"(Pandangan) itu pun betul, tetapi sekiranya tidak ada (sistem kuota) lagi teruk," kata Wan Mahyyiddin, sambil membidas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah berkata "dalam Islam tidak ada hak istimewa".

Kenyataan PAS itu kerana hendak menjaga hati parti-parti lain dalam pakatan Barisan Alternatif, tambahnya.

Wan Mahyyiddin menyeru Puteri Umno agar mencontohi semangat perjuangan Wanita ketika menentang penubuhan Malayan Union pada 1946.

Berucap di hadapan kira-kira 100 ahli Puteri peringkat Wilayah Persekutuan pagi ini, Wan Mahyyiddin berkata wanita zaman itu sanggup mendukung anak dan membawa sepanduk untuk menentang rancangan penjajah Inggeris itu.

"Jangan kita harap PAS boleh memperjuangkan (nasib) orang Islam. (Dalam) isu Suqiu, PAS (sendiri) menghantar wakilnya," katanya.

Dalam pembentangan bertajuk 'Perjuangan Umno Suatu Wadah ke Arah Mengangkat Martabat Agama, Bangsa Dan Negara,' beliau mengingatkan barisan pelapis itu agar tidak mengamalkan kaedah "tabur wang" atau berharap menjadi kaya dengan cepat melalui kontrak kerajaan dan pinjaman bank tetapi tidak membayar semula.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS