Pemimpin wanita PAS negeri Selangor hari ini memaklumkan usul yang dikemukakan kepada peringkat tertinggi parti adalah "membuang masa" dan wajar perwakilan wanita itu menumpukan gerak kerja khusus di peringkat negeri.

Ketua Dewan Muslimat negeri, Wan Hasrina Wan Hassan menjelaskan pada persidangan Muktamar PAS kali ini, muslimat negeri tidak akan menghantar sebarang usul sambil menambah terdapat rombakan kecil dalam kabinet wanita negeri itu.

"(Saya) tidak merajuk, tetapi membawa usul (adalah) membuang masa," tegas beliau sekali lagi kepada malaysiakini .

Wan Hasrina menjelaskan terdapat usul yang penting seperti kerjasama dalam Barisan Alternatif dan masalah keruntuhan akhlak tetapi usul yang dikemukakan oleh negeri itu tidak pernah dibawa ke peringkat teratas.

"Biarlah (usul tersebut) diketengahkan di peringkat negeri (sahaja), banyak perubahan yang perlu dilakukan terutama menjelang pilihanraya 2004 nanti," ulas beliau.

Muktamar PAS ke-47 pada 1,2 dan 3 Jun di Markas Taman Melewar, Gombak akan dimulakan dengan mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat pada 31 Mei ini.

Sementara pemimpin wanita negeri itu berharap akan berlakunya perubahan dalam kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Wan Hasrina mencadangkan penekanan dari segi tarbiyah dan imej profesional perlu dijalankan seiring.

"Selama ini (muslimat) banyak menonjol imej profesional, tapi imej tarbiyah kurang," ulas beliau dan menyebut muslimat perlu ikhlas dan menunjukkan akhlak yang baik dalam usaha mendekati masyarakat.

Diri pekerja perlu ditarbiyahkan terlebih dahulu, barulah model (contoh) dapat dilihat dari segi peribadi, ulas ketua muslimat negeri itu mengenai pemimpin sedia ada yang kurang mengambil berat dalam soal tarbiyah.