Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyalahkan 'pihak lain' di luar parti itu yang menyebabkan sesetengah pemimpinnya kalah dalam pemilihan semalam.

"Kita tak kempen (dalam) pemilihan orang (parti lain),  (tetapi) orang tolong kempen pemilihan kita,  disiarkan oleh media.

"Kesian rakan kita yang menjadi mangsa. Tidak ada pemimpin kita yang tolak hukum syariat.  Kalau tidak, dia tak boleh jadi ahli PAS," katanya dalam ucapan penggulungan di Kuala Selangor hari ini.

Menurut Abdul Hadi, 'rakan' dalam Pakatan Rakyat melakukan kesilapan sehingga menyebabkan imej sesetengah pemimpin PAS tercalar.

"Itu bukan salah kita, salah rakan kita," katanya

PAS tetap berdisiplin

Menurut ahli politik dari Terengganu itu, 'calar' dialami sesetengah pemimpin PAS dalam isu hudud membawa kepada penurunan sokongan yang diberikan perwakilan terhadap mereka.

Dalam kerjasama politik dengan PKR dan DAP, Abdul Hadi mengakui parti itu berdepan dengan cabaran.

Namun, katanya, PAS tetap menunjukkan displin dan adab kerjasama tanpa mengkhianatinya, termasuk mengambil pendekatan berdamai menerusi dialog.

"Masing-masing ada ideologi, tidak ganggu akidah walaupun ideologi berbeza, dalam titik persamaan antara kita bekerjasama.

"Namun rakan, rakan menuntut dalam perkara berkaita akidah dan disiplin. Isu pelaksanaan syariat, ini isu akidah. Isu kepimpinan parti, ini isu dalaman PAS," katanya.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Marang itu turut menjelaskan dengan panjang lebar mengenai usaha PAS melaksanakan hudud di negara sejak 1950-an dengan megambil pelbagai pendekatan berasaskan peraturan dan perlembagaan.

Balik Mesir ceramah hudud

Bahkan, kata Abdul Hadi, PAS juga mengambil pendekatan berdialog dengan rakan Pakatan, berforum dan memenuhi jemputan berdialong di Universiti Nanyang di Singapura.

"Tiba-tiba (DAP) buat kenyataan menghentam kita, gopoh nak melaksanakan syariat," katanya.

Malangnya kata Abdul Hadi ada pertubuhan bukan kerajaan yang menolong membawa DAP ke Mesir "untuk mengaji beberapa minggu" sebelum pulang ke Malaysia memberikan ceramah mengenai hudud.

"Ini bukan kerja kita. Ini kerja memalukan, kita bermoral dalam mengemukan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berpendapat pertikaian dalam Pakatan berlaku disebabkan perbezaan ideologi parti.

"Pada kita sudah membuat perbincangan antara satu dengan yang lain, hak Kelantan, untuk memperjuang (hudud), hak parti lain untuk tidak bersetuju.

"Puncanya kita berideologi Islam, DAP sekular sosialisme, PKR sekular pragmatik. Tak jadi masalah. Namun kita menjadi sasaran," katanya.

Beliau turut membaca pepatah Arab yang bermaksud: "dia pukul saya, dia yang menangis. Dia yang zalimi saya, dia yang mengadu".

Mengenai hudud, Abdul Hadi berkata, beliau menyerahkan isu itu kepada kebijaksanaan kerajaan Kelantan untuk berunding dengan kerajaan pusat walaupun dicemburui serta dianggap berjumpa dengan Umno.

"Asal jumpa dengan Umno, tak boleh. Diharamkan. Itu bukan pendekatan kita," katanya sambil membaca sepotong Al-Quran berhubung arahan Islam supaya berdialog.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini