Muhd Taib: Saya sepatutnya menang...
Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berpendapat berdasarkan kepada sumbangan dan perkhidmatannya kepada Umno, beliau sepatutnya berjaya mengekalkan jawatan tersebut dalam pemilihan Umno Khamis lalu.
"Tetapi saya tidak tahu apakah kriteria perwakilan ... saya harap apa yang saya dengar (politik wang) tidak benar ... kerana jika benar ia akan menjejaskan Umno," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Dalam pemilihan itu, Muhd Taib gagal mempertahankan jawatan itu selepas mendapat 1,177 undi untuk berada di tempat keempat, iaitu 57 undi di belakang Tan Sri Muhyiddn Yasin.
Muhyiddin yang juga, Menteri Pertanian dan Asas Tani, mendapat tempat ketiga dengan 1,234 undi, manakala Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Mohd Isa Samad dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam, masing-masing berjaya menduduki tempat pertama dan kedua jawatan tersebut. Isa mendapat 1,507 undi dan Mohd Ali 1,329 undi.
Tiga lagi calon yang bertanding bagi jawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Mustapa Mohamed (1,059 undi), Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakob (690) dan Ahli Parlimen Johor Baru, Datuk Shahrir Samad (651).
Menurut Muhd Taib lagi, keputusan pemilihan Umno itu menunjukkan bahawa orang yang patut diberi 'ganjaran' atas perkhidmatan mereka kepada parti, tidak terpilih, manakala orang yang tidak patut dapat 'ganjaran' itu, pula terpilih.
"Saya sendiripun tidak faham apakah kriteria (perwakilan) memilih pemimpin. Kalau berdasarkan kepada kecemerlangan perkhidmatan kepada parti, saya telah melakukan yang terbaik .. dalam keadaan biasa, sepatutnya saya terpilih ... tapi sekarang saya tidak tahu kriteria pemilihan itu," katanya.
Keputusan
Bagaimanapun, katanya, beliau secara umumnya menerima keputusan pemilihan parti kerana dalam sebarang pertandingan, mesti ada yang menang dan yang kalah.
Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar banyak cakap-cakap mengenai perbuatan membeli undi yang membabitkan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan tersebut.
"Saya harap ianya tidak benar ... kalau benar, maka ia merupakan saat dan sesuatu yang amat sedih dan malang bagi Umno kerana arus sebegini akan menjejaskan parti dan juga menyebabkan orang tidak akan lagi selesa untuk bertanding jawatan parti.
"Saya tidak ada bukti tetapi terlampau ramai orang yang cakap (mengenai politik wang), sehingga kadang-kadang macam mana tak percaya....
"Kerana itu seperti yang saya katakan tadi, saya taat kepada parti ... saya sentiasa berada di barisan hadapan dan telah banyak menjaringkan 'gol'... tetapi bila sampai di peringkat ini (pemilihan parti) orang lain pula yang mendapat 'ganjarannya'...." tegas beliau.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa politik wang sewaktu kempen pemilihan parti baru-baru banyak membabitkan para perwakilan daripada Kumpulan 7, Muhd Taib berkata, kemungkinan itu ada kerana mereka dianggap sebagai perwakilan yang bebas.
"Mungkin kerana mereka bukan ahli jawatankuasa Umno bahagian, maka mereka bebas bertindak. .. kalau mereka memegang jawatan di peringkat bahagian, akan mudahlah mereka dikesan..," katanya.
Kelab MB
Kira-kira 2,500 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Khamis lalu terdiri daripada Kumpulan 6 dan Kumpulan 7 yang lebih popular dengan panggilan G6 dan G7.
G6 terdiri daripada ketua, timbalan dan naib ketua bahagian serta ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. G7 pula terdiri daripada tujuh perwakilan yang dipilih sewaktu mesyuarat agung bahagian Julai lalu.
"Kalau benarlah cakap-cakap tersebut, maka ianya amatlah mengecewarkan kerana kriteria pemilihan barisan kepimpinan parti bukan lagi berdasarkan kewibawaan atau rekod perkhidmatan seseorang itu, tetapi berapa banyak yang ditawarkan (wang)...amat malang sekali," tambahnya.
Ditanya sama ada wujudkah 'Kelab MB' sewaktu pemilihan tersebut, khususnya bagi kerusi Majlis Tertinggi (MT), Muhd Taib berkata berdasarkan pemerhatiannya tidak pula wujud kelab seumpama itu, sepertimana yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
Katanya, berdasarkan keputusan pemilihan tersebut, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zin dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman hanya menduduki tempat ke-16 dan 17 daripada 25 calon MT yang terpilih.
Syed Razak mendapat 1,471 undi manakala Abdul Ghani pula mendapat 1,466 undi. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menduduki tempat pertama dengan 2,015 undi.