Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketika sampai di kaki bukit Gua Tambun, kami perlu menaiki 150 anak tangga baru untuk membolehkan sampai ke Gua Tambun.

Gua Tambun diiktiraf sebagai tapak warisan negara pada 2010 kerana lukisan merah Zaman Neolitik yang berusia 3,000 hingga 4,000 tahun di dinding gua itu.

Sebaik sahaja kami sampai Gua Tambun, gambar pertama yang menyambut kedatangan kami, contengan vandalisme dan grafiti seperti nama individu tertentu dan bekas tapak tangan di bahagian bawah dinding gua.

Selain itu, terdapat juga kesan kuari di bawah dinding gua, malah batu-batu besar dan kecil kelihatan berlonggokan dan bertaburan sana sini.

Tumbuhan hijau di bahagian bawah dinding gua itu bakal mengancam lukisan merah prasejarah itu pada suatu ketika nanti apabila ia membesar.

Kemudian, mata kami terarah kepada bahagian atas dinding gua batu kapur itu, kelihatan lukisan merah prasejarah yang bertaburan di dinding gua, seolah-olah menceritakan kisah kehidupan manusia ketika itu.

Lukisan menarik

Apa yang kami lihat, lukisan haiwan berkaki empat - ada saiz besar dan kecil - yang sedang berlari. Sesetengah daipada mereka berleher panjang, dan ada juga haiwan yang mengandung kerana pada perut kelihatan ada seekor anak kecil.

Kebanyakan lukisan haiwan itu masih boleh jelas kelihatan, bentuk dan gaya haiwan itu dilakar dengan garis-garis yang halus dan ringkas, sesetengah corak pula diisi dengan warna merah.

Pensyarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia Goh Hsiao Mei berkata corak haiwan itu seperti babi hutan, rusa, kambing dan lain-lain. Ini memberi gambaran bahawa pelbagai haiwan itu telah wujud di Tambun pada masa 3,000 tahun dahulu.

Di dinding gua itu, kami juga boleh nampak seekor binatang seperti dugong yang sedang berenang. Ia antara lukisan yang paling cantik dan lengkap, malah kemunculan haiwan itu di Tambun pada zaman purba dikatakan menjadi perbualan hangat orang tempatan.

Terdapat juga satu corak lukisan dengan lima kaki panjang, seolah-olah seperti seekor sotong kurita. Goh berkata lukisan haiwan laut itu menunjukkan bahawa manusia prasejarah telah mempunyai pengetahuan tentang laut, malah Tambun mungkin merupakan tempat berdekatan laut atau sungai pada zaman purba.

Di dinding gua turut kelihatan lukisan manusia yang bergerak tangan dan kaki, seolah-olah sedang menari atau sedang menyembah. Bagaimanapun, terdapat juga sebahagian besar lukisan telah pudar warnanya, menyebabkan kita hanya boleh membuat bayangan akan apa maknanya.

Penyertaan masyarakat tempatan

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Warisan Perak Law Siak Hong turut memandang berat tindakan vandalisme yang berlaku di Gua Tambun ini.

Katanya, contengan dan vandalisme berlaku disebabkan kurangnya kempen kesedaran untuk masyarakat tempatan menyebabkan mereka tidak tahu akan kepentingan lukisan purba ini.

Law berkata bahawa pengurusan mana-mana tapak warisan negara memerlukan bantuan dan penyertaan daripada masyarakat setempat agar mereka menghargai dan menjaga warisan di tempat tinggal mereka.

Selain usaha masyarakat tempatan, Law turut berpendapat pihak berkuasa memainkan peranan yang amat penting dalam mempromosi dan membangunkan tapak warisan negara ini.

Beliau menyeru pihak berkuasa mengambil berat dengan keadaan lukisan prasejarah Gua Tambun, termasuk masalah jalan akses ke kaki bukit Gua Tambun disekat.

Projek kesedaran  

Melihat contengan dan vandalisme yang berlaku di dinding Gua Tambun semakin serius, Goh melancarkan Projek Kesedaran Warisan Gua Tambun (Gua Tambun Heritage Awareness Project,GTHAP).

Bercakap dengan Malaysiakini, beliau berkata projek itu akan dijalankan melalui sosial media seperti Facebook dan Twitter untuk memperkenalkan Gua Tambun kepada orang ramai.

Seterusnya, sesiapa yang mengunjung ke Gua Tambun digalakkan berselfie dengan lukisan merah di dinding gua dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial seperti Facebook dan Twitter dengan hashtag Projek Kesedaran Warisan Gua Tambun (#GTHAP).

Katanya, melalui gambar-gambar selfie dengan lukisan merah yang dimuat naik ke media sosial, secara tidak langsung ahli arkeologi boleh memerhati dan mengawal keadaan lukisan merah tanpa perlunya melawat ke Gua Tambun.

Ini dapat membantu ahli arkeologi mengawal keadaan Gua Tambun dari jarak jauh dalam jangka masa panjang.

Melalui projek ini, Goh turut akan bekerjasama dengan NGO di Perak untuk mengadakan kempen kesedaran, termasuklah melatih orang tempatan menjadi pemandu pelancong komuniti.

Di samping membawa pengunjung melawat ke tapak Gua Tambun, beliau mencadangkan supaya orang tempatan memainkan peranan menjaga lukisan purba tersebut

Penduduk tak tahu

Setelah selesai temu bual dan penggambaran, kami menuruni anak tangga ke bawah kaki bukit Gua Tambun, lalu masuk semula Padang Kuda menuju ke laluan pintu kecil di tepi padang.

Sebaik sahaja kami menyeberangi papan kayu dan keluar daripada Padang Kuda, kami terserempak dengan seorang wanita Melayu yang merupakan penduduk tempatan.

Shaba Arifin itu senyum sambil menyapa kami, sama ada kami nampak "dugong" di atas Gua Tambun.

Apabila kami menanyanya sama ada tahu tentang lukisan merah di atas bukit itu, Shaba Arifin senyum sambil berkata: "Tak tahu."

"Saya hanya dengar kata di atas tu ada benda sejarah yang bernilai, namun benda sejarah ni bukan semua orang minat kan?" katanya.

Setelah kami berpisah dengan Goh, kami terus bertemu dengan beberapa penduduk tempatan di pekan Tambun.

Kebanyakan mereka tidak pernah naik ke Gua Tambun mahupun melihat lukisan purba itu seperti Shaba.

Rugi besar

Salah seorang peniaga kedai buah-buahan Loh Gan Heng berkata ia memang satu kerugian besar apabila pihak berkuasa tidak mempromosi lukisan gua purba itu.

Katanya, pihak kerajaan harus berunding dengan pemilik padang kuda agar mereka dapat memperuntukkan ruang agar satu jalan yang baik boleh dibina untuk sampai ke kaki bukit Gua Tambun.

"Laluan masuk telah disekat, kami pun tidak mahu menceroboh tempat orang lain," luah Loh.

Loh berkata jikalau pihak berkuasa mempromosi Gua Tambun, mereka sanggup menubuhkan satu jawatankuasa tempatan untuk membantu menjaga tapak warisan negara itu.

"Gua Tambun merupakan satu tempat perlancongan dalam peta negeri Perak. Namun kebanyakan pengunjung pulang dengan kekecewaan apabila mereka mendapati laluan masuk disekat dan tidak ingin ceroboh tempat orang," kata Loh.

Setelah lawatan ke Gua Tambun pada 15 Jun lalu, Malaysiakini telah menghubungi pegawai Jabatan Warisan Negara melalui email untuk mendapatkan komen.

Namun, setelah sebulan menunggu, pihak Jabatan Warisan Negara masih tidak dapat memberi reaksi dan Malaysiakini sedang menunggu maklum balas mereka.

Bahagian 1: Nasib malang lukisan gua prasejarah Tambun


Yap Jia Hee dan Cheo Yee Jing bersama ahli arkeologi Goh Hsiao Mei dan Naib Pengerusi Persatuan Warisan Perak Law Siak Hong mengunjungi Gua Tambun pada 15 Jun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS