Pemuda Parti Keadilan Nasional menyokong langkah PAS untuk mencalonkan wanita dalam pilihanraya akan datang.

Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan, Diong Chi Tzuoh mengalu-alukan cadangan rakan alternatifnya itu sebagai mengulas kenyataan PAS untuk mencalonkan wanita dan usul tersebut akan dibawa dalam persidangan (muktamar) PAS ke-47 akhir bulan ini.

"PAS sering diserang oleh pihak tertentu sebagai mengabaikan golongan wanita, terutama menyekat wanita daripada menceburi politik," jelas Diong sambil menambah bahawa perkembangan terbaru ini membuktikan PAS tidak mengabaikan wakil wanita dalam parti itu.

Beliau menjelaskan langkah itu akan memperbaiki imej PAS dan secara langsung menghancurkan serangan jahat pihak-pihak tertentu.

Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor dilaporkan berkata sudah sampai masanya pihak wanita tampil ke hadapan membantu pihak lelaki.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Azizan Abdul Razak pula menjelaskan senario politik kini berubah dengan pantas dan pembangkang perlu bergantung kepada wanita dalam perjuangan.

Ini adalah kali pertama PAS negeri itu menerima sokongan terbuka bagi penglibatan wanita dan Azizan menjangkakan parti itu akan memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya akan datang, petik laporan akhbar The Star hari ini.

Dong dalam kenyataan medianya itu mengulas setelah 10 orang pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ramai wanita yang tampil untuk menentang akta tersebut.

"Kita boleh melihat bahawa wanita memainkan peranan penting di mana isteri-isteri dan keluarga tahanan terus menggantikan pemimpin yang ditahan dalam perjuangan kita," jelas beliau sambil memetik kata Ahli Dewan Undangan Hulu Klang, Mohd Azmin Ali bahawa ibu Ketua Pemuda Keadilan, Aishah Othman seolah-olah menggantikan anaknya Mohamad Ezam Mohd Nor.

Dalam operasi polis yang bermula pada 10 April, Ezam telah ditahan di bawah ISA bersama pemimpin Keadilan Tian Chua dan Dr Badrul Amin Baharom; pemimpin pemuda Abdul Ghani Haroon, N Gobalakrishnan, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam; pengendali laman web Kempen Bebaskan Anwar (Freeanwar.com) Raja Petra Raja Kamaruddin; aktivis hak asasi manusia Badaruddin Ismail and aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Mandat penuh kepada Pusat

Sementara Ketua Dewan Muslimat negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menjelaskan kenyataan yang dibuat semalam kepada malaysiakini ditujukan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

"Laporan itu mengelirukan; muslimat negeri sememannya memberikan mandat penuh kepada Jawatankuasa PAS Pusat," tegas pemimpin wanita itu.

Beliau dalam kenyataannya semalam berharap supaya pimpinan tertinggi wanita itu mengadakan perubahan supaya dapat menarik masyarakat mendekati parti itu.

Wan Hasrina turut mengajak ahli parti itu supaya meningkatkan kerjasama di peringkat Barisan Alternatif sebagai persiapan pilihanraya akan datang.