Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabri Yunus bangkitkan kolum 'hilang' Ku Seman
Diterbitkan:  Aug 17, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Selebriti terkenal Sabri Yunus dan penulis Sutung Umar RS membangkitkan 'kehilangan' kolum pengarang Utusan Malaysia , Ku Seman Ku Hussain yang 'hilang' dalam akhbar itu semalam.

Kehilangan “Anekdot Ahad” yang sering menghiasi muka surat tujuh dalam akhbar milik Umno itu, mencetuskan tanda tanya pada kedua-dua pengkarya seni itu.

Kolum Ku Seman yang diletakkan di bahagian atas muka surat itu digantikan dengan tulisan penganalisis undang-undang Profesor Salleh Buang bertajuk "Operasi tangkap dan ekstradisi Clare Brown" semalam.

"Rasanya Mingguan Malaysia hari ni (semalam) tertinggal satu halaman. Atau aku yang tercicir di perjalanan.

"Puas kubelek-belek cari ruangan Anekdot. Ternyata minggu ini tak dok," tulis Sabri dalam laman Facebooknya.

Sebelum ini, Ku Seman melalui artikel "Derma RM2.6 bilion dan Integriti Umno" mempersoalkan integriti parti itu dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Beliau turut mencabar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pengarah Jabatan hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedi,a Datuk Dr Puad Zarkashi berdebat dalam isu dana itu.

Bagi Sutung pula, bekas pengarang sastera di Berita Harian, turut mempersoalkan sama ada ketiadaan kolum Ku Seman itu disebabkan campur tangan menteri tertentu.

"Tiba-tiba sahaja kolum Ku Seman tak ada. Kenapa? Menteri mana yang kacau kerja wartawan pula ini?" soal beliau dalam Facebooknya.

Sementara itu, dalam Twitternya, bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin membangkitkan perkara sama.

"Sebelum rencana Ku Seman MM ( Mingguan Malaysia ) kena buang, (kolum) Cuit Datuk Zaini juga alami nasib sama tapi belum pasti jika DAP atau Anwar berkuasa tak berlaku.

"10 tahun (saya) ketua pengarang Utusan, tak pernah buang rencana tengah malam. Hanya berlaku di negara tidak demokratik. Tak tidur malamlah KP (ketua pengarang) Utusan ," kata Zainuddin.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Ku Seman berhubung perkara itu.

Lihat Komen
ADS