Perkhidmatan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Harun Salim yang bersara 9 Oktober lalu, dipercayai telah dilanjutkan berikutan bantahan pegawai kanannya terhadap cadangan kerajaan negeri untuk membawa orang luar menerajui perbadanan tersebut.
Selasa lalu, malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dikatakan mahu melantik orang luar menerajui PKNS, dan tindakan tersebut telah mendapat bantahan para pegawai kanan perbadanan tersebut.
Menurut mereka, tindakan Dr Mohd Khir itu juga melanggar tradisi perlantikan Pengurus Besar PKNS yang diamalkan oleh semua Menteri Besar Selangor sebelum ini.
Menurut tradisi sebelum ini, Timbalan Pengurus Besar PKNS akan dinaikkan pangkat untuk mengisi jawatan Pengurus Besar perbadanan itu bila berlaku kekosongan.
Ini bererti dengan persaraan Harun, kekosongan itu sepatutnya diisi oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS sekarang, Datuk Zainuddin Zainal Abidin yang telah berkhidmat di perbadanan tersebut sejak 1974.
Bagaimanapun, Dr Mohd Khir dikatakan mahu membawa masuk 'orang luar' untuk mengisi jawatan tersebut.
Calon yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Pengurus Besar Baru ialah seorang tokoh korporat yang dikenali sebagai "Datuk Ibrahim".
Perkhidmatan
Malah, tambah sumber-sumber itu, kini timbul desas-desus yang mengatakan Zainuddin juga akan dipindahkan daripada PKNS bagi mengelak adanya "dua nakhoda" di perbadanan tersebut.
Berikutan itu, mereka dipercayai telah menemui Dr Mohd Khir, yang juga pengerusi PKNS, bagi merayu supaya beliau menimbang semula cadangan itu.
Malaysiakini difahamkan, berikutan rayuan tersebut, Menteri Besar telah memanggil Harun selepas mesyuarat Exco semalam untuk memaklumkan kepadanya mengenai perlanjutan tempoh perkhidmatan sebagai Pengurus Besar PKNS.
Bagaimanapun, sumber-sumber memberitahu malaysiakini, sehingga tidak dapat dipastikan tempoh lanjutan perkhidmatan Harun.
"Kami tidak tahu sama ada sudah diterbit surat hitam putih mengenainya. Kami ada dengar-dengar yang perkhidmatan Datuk Harun dilanjutkan selama setahun lagi," tambah mereka.
Walaupun keputusan melanjutkan perkhidmatan Harun dijangka meredakan bantahan berhubung perkara tersebut, sumber-sumber itu berkata, ada sesetengah pihak yang hairan mengapa Zainuddin tidak dilantik mengisi kekosongan tersebut.
"Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah kekurangan Datuk Zainuddin untuk mengisi jawatan tersebut sedangkan beliau sudah 30 tahun berkhidmat di PKNS," tambahnya.
