Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan mengambil tindakan sekiranya terbukti kenyataan wakil rakyat PAS negeri Pahang untuk memusnahkan patung-patung kepercayaan penganut bukan Islam apabila berjaya mentadbir negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri untuk daerah Semantan, Idris Omar didakwa telah melontarkan idea untuk memusnahkan patung Buddha termasuk Guan Gong (patung-patung kecil yang diletakkan di dalam rumah).

Setiausaha Agung PAS, Nasharudin Mat Isa memberitahu sidang media pagi ini bahawa Adun PAS itu telah menafikannya.

"Kita sudah meminta dirujuk hansard (persidangan dewan undangan negeri itu)," jelas beliau tetapi hansard tersebut mengambil masa untuk disiapkan.

Nasharudin menegaskan sekiranya kenyataan dalam sidang dewan itu benar, perkara tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk diambil tindakan.

Isu tersebut telah dijelaskan kepada rakan-rakan alternatif khususnya DAP berhubung tuduhan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat MCA.

Kekeliruan timbul apabila isu tersebut muncul dalam laporan akhbar-akhbar Cina. Tindakan pemimpin kerajaan Taleban di Afghanistan, Mullah Mohamad Omar mengarahkan supaya tugu dan patung Buddha (53m dan 35m tingginya) yang berusia 1,500 tahun dimusnahkan turut menimbulkan keresahan penganut-penganut Buddha.

Nasharudin berkata parti itu menghormati agama-agama lain dan dalam ajaran Islam sendiri menghormati saudara Islam adalah seiman dan bukan Islam adalah ' humanity ' (kemanusiaan).

"Kelantan yang telah diperintah selama 10 tahun (oleh PAS), sleeping Buddha patung Buddha terbesar di Asia Tenggara masih tidak diruntuhkan," ulasnya di Taman Melewar hari ini.

Pra-syarat

Sementara itu beliau menjelaskan pertemuan antara kedua-dua pemimpin Umno-PAS tidak akan terjadi selagi pihak Umno tidak menunaikan dua daripada tiga pra-syarat yang telah ditetapkan.

PAS mengemukakan supaya penerbitan Harakah diberi jadual asalnya iaitu lapan kali sebulan, royalti minyak dikembalikan kepada rakyat Terengganu dan perkataan Islam dibenarkan dalam mana-mana pertubuhan atau parti di negara ini.

Majlis Raja-raja Melayu sebelum ini telah memperkenankan supaya nama Islam kekal dan boleh digunakan tetapi perkataan itu tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

Apabila ditanya adakah ketuanan Melayu semakin tergugat, Nasharudin mempersoalkan apakah isu tersebut wujud atau dimainkan berdasar isu perkauman.

"Selama BN (Barisan Nasional) memerintah, banyak isu-isu Melayu yang Umno sendiri tidak perjuangkan," tegas pemimpin PAS itu bahawa isu yang kini berbangkit adalah satu percubaan untuk menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.