PAS: Dua ketua tertinggi kekal, jawatan lain dipertandingkan
Meskipun PAS telah membuka semua jawatan untuk dipertandingkan di dalam Muktamar PAS ke-47 akhir bulan ini, tidak ada sebarang pencalonan baru untuk menggantikan dua pimpinan utama parti itu.
Setiausaha Agung PAS, Nasharudin Mat Isa memberitahu sidang media di Taman Melewar, Selangor, pagi tadi bahawa sehingga tarikh tutup pencalonan pada 10 Mei ini, jawatan Presiden yang dipegang oleh Datuk Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presidennya Abdul Hadi Awang masih kekal.
Nasharudin berkata setelah menerima pencalonan daripada setiap cawangan, hanya jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat akan dipertandingkan.
Tambah pemimpin kanan parti itu lagi, persidangan kali ini agak menarik kerana ia akan dijalankan berdasar pindaan perlembagaan yang diluluskan di Terengganu tahun lalu.
Beliau menyebut antara pindaan itu ialah penambahan seorang lagi naib presiden PAS menjadikan jumlahnya tiga orang.
Jumlah AJK PAS Pusat juga bertambah, jelas beliau sambil menambah bahawa 18 daripada ahli jawatankuasa itu dipilih, manakala enam lagi dilantik.
Perwakilan yang dijangka hampir seribu orang itu, akan bersidang pada 1,2 dan 3 Jun, 2001, dan dimulakan dengan Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 31 Mei ini.
Apabila ditanya berhubung calon dan agenda yang akan dibincangkan, Nasharudin menjelaskan perkara tersebut belum diputuskan.
Beliau hanya menyebut pemilihan AJK PAS Pusat akan bertambah "menarik" kerana ada pencalonan wanita.
Calon ketua muslimat
Sementara seorang ahli muslimat PAS yang tidak mahu dikenali memberitahu malaysiakini bahawa terdapat pencalonan baru bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
"Saya harapkan calon yang baru tidak menolak," jelas beliau yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Beliau yang enggan menyebut nama calon tersebut menggambarkan calon muslimat itu sebagai seorang yang berwibawa, memahami masalah muslimat serta bersifat keibuan.
"Ketua yang ada sudah sampai masanya berundur, kalau lagi lama memegang jawatan rasa terpesong," jelas wakil muslimat itu sambil menambah bahawa ketua yang terlalu lama memegang jawatan akan berasa dirinya "tinggi" (angkuh).
Beliau menjelaskan PAS tidak mengumumkan nama-nama calon dalam jangkamasa terdekat ini kerana tidak mahu ia dilihat sebagai satu kempen untuk merebut jawatan.
Desas-desus menghendaki perubahan dilakukan di dalam kepimpinan muslimat PAS Pusat hangat diperkatakan baru-baru ini.
Malaysiakini semalam melaporkan perubahan di peringkat pimpinan wanita perlu bagi menarik masyarakat mendekati parti itu.

