Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini enggan mengulas langkah kerajaan menggubal undang-undang baru bagi mengawal Internet seperti diumumkan sebelum ini.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata "tidak ada apa-apa" apabila ditanya sama ada peruntukan undang-undang itu pindaan akta sedia ada, seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, atau akta baru.

Beliau memberitahu malaysiakini demikian selepas majlis penyampaian 'Hadiah Sastera 2000' Kumpulan Utusan di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang tadi.

Ahad lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim berkata Jabatan Peguam Negara sedang merangka undang-undang di peringkat akhir bagi membolehkan kerajaan bertindak terhadap pengguna Internet yang cuba mencetuskan keadaan huru-hara dan keganasan kepada pentadbiran negara.

Akhbar The Sun melaporkan Rais berkata Akta Penerbitan dan Media Cetak sekarang tidak memberikan peruntukan sedemikian.

"Saya ingin memberikan amaran bahawa pihak yang berbuat demikian tidak akan terlepas daripada undang-undang tidak lama lagi," katanya seperti dilaporkan.

Rais bagaimanapun berkata masalah untuk bertindak adalah mengenal pasti punca maklumat dalam Internet, khususnya jika sumber itu berasal dari luar negara.

Pada 20 April lalu, Abdullah berkata pegawai-pegawai di kementeriannya sedang mengkaji beberapa akta untuk mengawal media "berhubung keselamatan negara."

"Kerja-kerja (penyemakan semula undang-undang) ini telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sedia menerima pandangan daripada pihak-pihak lain mengenai akta mana yang perlu dipinda," katanya.

Tambahnya, antara yang sedang dikaji termasuklah berhubung beberapa peruntukan yang berkaitan dengan undang-undang lama seperti denda yang dikenakan (terhadap pesalah) mengikut nilai mata wang zaman dahulu.

Selain undang-undang lama, beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji undang-undang baru seperti akta percetakan, berikutan perkembangan baru dalam bidang teknologi maklumat (IT) dengan penggunaan Internet sebagai saluran penyebaran berita zaman sekarang.