Exco Pendidikan Pemuda Umno Dr Adham Baba bersama dua orang rakannya ditangkap awal pagi tadi oleh petugas-petugas PAS Senai, Johor kerana didakwa mengoyakkan poster ceramah parti pembangkang itu.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua pihak kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Setiausaha PAS kawasan itu, Faridz Mohd Salleh memberitahu, kira-kira jam 2.45 pagi tadi, beliau dimaklumkan tiga orang pemuda sedang mengoyakkan poster ceramah di sekitar bangunan Maybank dan Bank Simpanan Nasional di Kulai.

Penceramah utama acara anjuran PAS itu, yang dijadualkan malam ini, termasuklah ahli jawatankuasa pusat PAS Muhamad Sabu dan Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia Hassan Karim.

Beliau memberitahu Dewan Pemuda PAS kawasan itu telah menjalankan intipan sejak tiga malam berturut-turut selepas mendapati sejak beberapa hari lalu poster mereka dirosakkan pada sebelah awal pagi.

"Perkara ini bukan baru, sebelum ini poster-poster (ceramah PAS) telah disembur cat sehingga mengotorkan dinding premis (terlibat)," kata Faridz kepada malaysiakini .

Beliau mendakwa terdapat usaha terancang untuk merosakkan papan-papan tanda parti itu dan Parti Keadilan Nasional serta poster-poster ceramah pembangkang di kawasan berhampiran, termasuk di kawasan-kawasan tanah rancangan Felda. Kejadian-kejadian ini telah dilaporkan kepada polis.

Katanya, beliau menghampiri kumpulan tersebut dan mendapati Dr Adham, yang juga seorang tokoh motivasi di sekolah-sekolah Johor, bersama kumpulan itu.

Umno tuduh sesama sendiri

Apabila ditanya sama ada beliau melihat Dr Adham mengoyakkan poster tersebut, Faridz menjelaskan "tidak nampak" tetapi beliau menambah, exco Pemuda Umno itu perlu bertanggungjawab kerana turut serta dalam kumpulan itu.

Menurut laman web rasmi PAS kawasan itu (passenai.tripod.com) lagi, Dr Adham pula menuduh pembantunya sendiri, Nasaruddin Sahat di balai polis Kulai dan pertengkaran kecil serta tuduh-menuduh berlaku antara pemimpin dengan penyokong Umno itu.

Menurut sumber itu lagi, polis menggesa pemimpin Umno agar tidak berbuat demikian lagi kerana PAS mempunyai hak untuk menampal poster di tempat-tempat awam yang sesuai.

Sebelum itu, Umno berhujah poster itu dirosakkan kerana program ceramah itu tidak mendapat permit polis dan poster-poster itu "mencacatkan persekitaran," menurut satu tulisan di laman web itu lagi.

Faridz menambah Dr Adham juga membuat aduan polis berhubung hal itu tetapi beliau tidak mengetahui tujuan aduan itu dibuat.

Beliau, yang juga exco Dewan Pemuda PAS Johor, turut membuat laporan di balai polis yang sama sejurus kejadian itu.

Faridz berkata, setelah mendapati kerosakan pada poster-poster partinya yang kerap berulang, beliau ke pejabat Pemuda Umno Senai pada 16 Mei lalu dan bertanya mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun Pemuda Umno kawasan itu memaklumkan kepada PAS Senai bahawa mereka tidak mengetahui kejadian tersebut.

"Saya ingatkan kerja ini dilakukan oleh samseng-samseng Umno," kata Faridz, dan menambah beliau tidak menduga kejadian itu membabitkan seorang tokoh Pemuda Umno.

Read more from this author :
Read more like this :
Most Read
Most Commented
Most Recent