Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Jangan spekulasi siasatan pada Jho Low
Diterbitkan:  Sep 15, 2015 12:38 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerjasama media agar tidak membuat spekulasi berhubung siasatan mereka terhadap ahli perniagaan Jho Low dan dua bekas pegawai tertinggi SRC International Sdn Bhd berkaitan kontroversi 1MDB.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob berkata laporan Malaysiakini yang memetik sumber semalam boleh menjejaskan siasatan suruhanjaya, meletakkan individu terbabit dalam keadaan tidak selesa dan boleh menjejaskan keselamatan mereka.

"Oleh yang demikian, SPRM meminta pihak-pihak yang berkaitan agar bekerjasama dengan tidak menyiarkan laporan sedemikian demi membantu SPRM dalam menjalankan siasatan dengan sempurna dan secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini bertajuk " SPRM akan jejak Jho Low di luar negara " semalam bahawa badan antirasuah itu dipercayai sedang bersiap sedia untuk menghantar pegawainya ke luar negara untuk menyoal siasat Jho Low.

Suruhanjaya itu juga akan menyiasat Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil dan pengarahnya Suboh Mohd Yassin berkaitan kontroversi firma pelaburan negara itu.

SRC International bekas anak syarikat 1MDB.

SPRM sebelum ini sudah mengeluarkan notis supaya tiga individu itu tampil pada 22 Ogos untuk membantu siasatan berkaitan kemasukan RM42 kita ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan itu juga, Rohaizad bagaimanapun berkata SPRM akan memaklumkan perkembangan siasatan tersebut dari semasa ke semasa apabila keadaan mengizinkan dan pada masa yang sesuai.

Lihat Komen
ADS