DAP Pulau Pinang mungkin mengambil tindakan undang-undang berhubung peruntukan khas yang disediakan oleh pihak perbendaraan negeri dan dua majlis perbandaran, kepada wakil rakyat Barisan Nasional untuk membiayai projek kecil di kawasan masing-masing.

Pengerusi DAP dan juga ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh berkata parti itu mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan majlis perbandaran berkenaan, kerana memperuntukan RM500,000 setahun untuk setiap wakil rakyat BN, tetapi enggan menyediakan peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang.

"Ini adalah tidak adil apabila wang rakyat disalurkan kepada wakil rakyat BN sahaja, manakala wakil rakyat DAP dan parti pembangkang lain, tidak memperolehinya untuk menjalakan projek-projek untuk faedah rakyat," katanya kepada malaysiakini.

Di bawah dasar tersebut, setiap wakil rakyat BN akan menerima RM200,000 daripada perbendaharaan negeri dan RM300,000 lagi daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang atau Majlis Perbandaraan Seberang Prai, bergantung kepada lokasi kawasan mereka.

Peruntukan tahunan itu adalah untuk membolehkan wakil rakyat BN untuk melaksanakan program-program mereka seperti menyediakan bantuan kewangan atau menaikkan taraf keperluan asas di kawasan masing-masing.

Melalui peruntukan tersebut, mereka boleh menaikkan taraf jalan, sistem perlongkangan atau melancarkan kempen kebersihan di kawasan kampung dan taman kediaman di tempat mereka.

Di samping itu, ianya juga boleh digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan, pembekalan peralatan dan menaikkan taraf kemudahan asas di sekolah-sekolah, tempat ibadat, tempat permainan kanak-kanak, menubuhkan kumpulan kawalan kampung ataupun rukun tetangga, serta membantu pertubuhan seperti badan-badan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, sejak sekian lama, wakil rakyat BN didakwa turut menggunakan peruntukan tersebut untuk meningkatkan populariti mereka di kalangan pengundi dengan melaksanakan projek-projek bagi menarik undi rakyat, terutama pada tahun pilihanraya.

Penyelewangan

Menurut Karpal lagi, selama ini, peruntukan tahunan itu telah menguntung pihak parti pemerintah dalam usaha mengurangkan sokongan rakyat kepada pihak pembangkang.

"Walaupun ianya adalah wang rakyat, orang ramai menganggapnya sebagai satu sumbangan daripada wakil rakyat BN. Oleh itu, mereka mengundi BN," katanya.

Ketika itu, BN Pulau Pinang mempunyai 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lapan Ahli Parlimen.

DAP pula mempunyai empat orang Ahli Parlimen dan seorang Adun, manakala PAS mempunyai seorang Adun. Keadilan pula mempunyai seorang Ahli Parlimen yang diwakili oleh presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kerajaan Negeri telahpun menegaskan sebelum ini bahawa peruntukan tahunan untuk adalah untuk semua wakil rakyat tanpa mengiri latarbelakang politik mereka.

Bagaimanapun, DAP mendakwa kenyataan tersebut hanyalah merupakan 'kata-kata kosong' yang tidak pernah ditunaikan hinggalah sekarang.

Menurut Karpal, semua permohonan yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang untuk mendapatkan peruntukan tersebut, tidak pernah menerima jawapan yang positif.

"Pasukan perundangan kami sedang mengkaji peruntukanitu dari perspektif undang-undang. Jika terdapat ruang untuk menunjukkan berlakunya penyelewengan peruntukan itu bagi meningkatkan populariti BN, maka kami akan membawanya ke mahkamah," katanya.

_______________________________________________________________

ATHI VEERANGGAN adalah penulis sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.