Anwar tegur wakil rakyat PAS dan PKR dalam pemilihan Speaker

Arfaeza A Aziz        

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewanya kerana wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat tidak sepakat ketika mengundi untuk memilih Speaker yang baru.

Beliau memberitahu malaysiakini bahawa Ahli Parlimen dari DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya lebih matang dengan mencapai kata sepakat terlebih dahulu mengenai calon yang hendak diundi.

Anwar melahirkan rasa kesalnya kerana tiada usaha dibuat untuk mencapai kata sepakat dalam isu tersebut.

Menurutnya, sesuatu usaha patut diambil walaupun jika DAP tidak berunding dengan parti pembangkang yang lain, mengenai perkara tersebut.

"Walaupun Ahli-ahli Parlimen dari PKR dan PAS tidak bersetuju dengan calon pilihan DAP, mereka sebaiknya bersikap berkecuali dan tidak mengundi," katanya.

Dalam pengundian semalam wakil rakyat PAS dan PKR tidak menyokong calon DAP, Dr Tan Seng Giaw, tetapi telah mengundi memilih bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Dalam keadaan sukar

Ramli mendapat 185 undi termasuk lapan undi dari PAS dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk menewaskan Dr Tan yang memperolehi 10 undi, kesemuanya daripada Ahli Parlimen DAP sendiri.

Anwar bagaimanapun berkata pandangannya mungkin berbeza dengan pandangan isterinya, Dr Wan Azizah, tetapi menegaskan perlunya pihak pembangkang diingat mengenai pentingnya mereka bersatu ke arah mencapai agenda reformasi.

"Saya berada di dalam kedudukan yang sukar, tetapi saya tidak boleh berkompromi perjuangan saya untuk reformasi," katanya.

Anwar berkata jelas Dr Tan merupakan pilih terbaik dan paling layak (sebagai Speaker) berbanding dengan rekod Ramli, yang menurutnya tidak baik sewaktu menjadi Menteri Besar Perak.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen PAS dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar, mempertahankan keputusan itu, sambil menegaskan bahawa DAP tidak pernah berunding dengan rakan-rakan dari pembangkang mengenai perkara tersebut.

Tidak jejas kerjasama

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah ditanya mengenai perkara itu dan kerana itulah ianya (pengundian) berlaku sedemikian.

Malah, beliau berpendapat, tindakan itu wajar memandangkan keadaan fakta dan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, beliau mengakui memang tiada usaha dibuat di kalangan anggota Barisan Alternatif untuk membincangkan perkara itu dengan pihak DAP.

Kamaruddin juga sependapat dengan Anwar mengenai perlunya diwujudkan barisan pembangkang yang bersatu, tetapi menegaskan beliau tidak fikir apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam boleh menjejaskan kerjasama dengan DAP mengenai isu-isu lain pada masa depan.

"Memang kami sentiasa mahu mewujudkan kerjasama sihat antara parti-parti pembangkang. Saya tidak fikir ada antara kami yang tidak mahu berbuat demikian," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In