Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak 'sekata' dalam pemilihan Speaker Dewan Rakyat hari ini apabila wakil rakyat PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengundi menyokong calon dari DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sebaliknya, Ahli Parlimen PAS dan PKR sepakat mengundi memilih bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Ramli memperolehi 185 undi untuk menewaskan Timbalan Pengerusi DAP itu, yang juga Ahli Parlimen Kepong, yang mendapat 10 undi melalui pengundian sulit yang selesai dijalankan pada jam 10.35 pagi tadi.

Ahli-ahli Parlimen dari DAP berjumlah 12 orang tetapi dua daripada mereka tidak hadir pagi ini. Kesemua lapan Ahli Parlimen PAS dan PKR hadir di persidangan Dewan Rakyat pagi ini.

Ketika ditemui kemudiannya, Ahli Parlimen PAS dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar tidak mahu mengesahkan sama ada wakil rakyat PAS mengundi menyokong Ramli, tetapi berkata 'wartawan bolehlah membuat kesimpulan seperti itu'.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Wan Ismail juga enggan mengulas mengenainya.

Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen PAS yang tidak mahu disebut namanya, berkata parti itu tidak 'senang' dengan tindakan DAP yang mencalonkan Dr Tan tanpa berunding terlebih dahulu dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Terkejut

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) mengakui bahawa beliau agak terkejut dengan keputusan hari ini yang menunjukkan parti-parti pembangkang tidak sekata dalam hal tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Lim berkata pihaknya tidak berkempen di kalangan Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Dr Tan "kerana kami berpendapat ianya pemilihan Speaker dan Dr Tan tidak seharusnya dilihat sebagai calon pembangkang."

Proses pemilihan Speaker bermula apabila persidangan Dewan Rakyat disambung semula hari ini selepas bercuti sepanjang bulan puasa yang lalu. Pengundian yang memakan masa kira-kira 35 minit itu dipengerusikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Abdullah Abdul Wahab.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan usul mengenai pemilihan Speaker dan memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai pencalonan Ramli oleh Barisan Nasional (BN). Usul itu disokong oleh Datuk Ong Ka Ting (BN-Tanjong Piai), yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Lim pula mencalonkan Dr Tan sebagai calon pembangkang dan disokong oleh M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Keadaan menjadi kecoh beberapa kali apabila Lim mendesak supaya proses pengundian itu ditangguhkan. Beliau juga mempersoalkan pencalonan Ramli, dengan alasan terdapat pelbagai dakwaan terhadapnya ketika menjadi Menteri Besar Perak dahulu.

Beliau juga memetik Peraturan Tetap bahawa Najib tidak boleh mengemukakan usul tersebut kerana notis pencalonan itu dikemukakan atas nama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang sedang menghadiri sidang kemuncik Apec di Santiago.

Kerusi Speaker kekosongan selepas kematian Tun Dr Mohamed Zahir Ismail on 14 Oktober lalu selepas berkhidmat selama 22 tahun.