Urusan PAC tak sepatut dipolitikkan, kata menteri

Abdul Rahim Sabri        

PARLIMEN Wakil rakyat yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu meletakkan keutamaan tanggungjawab membuat siasatan pada sesuatu kes dan urusan mengenainya tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, jika urusan PAC dipolitikkan mengikut kepartian, maka hasil siasatan dan cadangan jawatankuasa berkenaan akan dipersoalkan.

"Sepatutnya PAC tidak perlu dipolitikkan sebab PAC mencari kebenaran (dalam sebarang dakwaan penyelewengan).

"Tapi jika ia dipolitikkan dan berpaksi kepada parti politik, apa-apa nanti akan dipersoalkan," katanya.

Beliau (BN-Pengerang) berkata demikian sewaktu menggulung usul pelantikan Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai pengerusi dan anggota baru PAC di Dewan Rakyat petang ini.

Usul yang dibahaskan oleh beberapa anggota parlimen BN dan pembangkang kemudiannya diluluskan melalui undi belah bagi, dengan lebih suara yang menyokong usul itu.

Pemilihan pengerusi dan tiga anggota baru PAC dibuat selepas empat anggota termasuk pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamad dilantik menyertai anggota Jemaah Menteri sebagai timbalan menteri dalam negeri pada rombakan kabinet Julai lalu.

Cari kebenaran

Berikutan itu, siasatan PAC terhadap skandal 1MDB tertangguh

Dalam perbahasan itu, Azalina turut menepis dakwaan bahawa kerajaan mahu melambat-lambatkan siasatan berhubung isu syarikat pelaburan negara yang kini sarat hutang itu.

"Kalau kita ingin mencari kebenaran, kita melantik pengerusi dan tiga ahli (PAC yang baru) pada sesi ini.

"Kalau dengan niat ingin melambat-lambatkan, ia boleh diadakan pada sesi November atau akhir Disember.

"Komitmen kita, tidak mahu melengah-lengahkan. Oleh itu saya ingin menyatakan tanggungjawab PAC tidak boleh dipoliitk.

"PAC perlu mementingkan 'natural justice', tak ada bias (dalam siasatan), menekankan hak untuk pendengaran yang adil dengan siasatan yang betul dan anggota dilantik (mesti) mengikut peraturan," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In