Majlis Syura PAS dipercayai akan menyokong cadangan Muslimat untuk memilih wanita sebagai calon pilihanraya umum 2004 sejak usul itu dikemukakan dalam Muktamar parti tahun lalu.
Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa membayangkan perkembangan positif itu selepas mesyuarat jawatankuasa pusat PAS tengahari tadi sebagai persiapan muktamar ke-47 akhir bulan ini.
"Mereka (Dewan Muslimat) telah menghantar hujah-hujah (kertas kerja) bagi Majlis Syura mengkaji (usul tersebut)," katanya, sambil menambah secara umumnya pemimpin PAS menerima cadangan perwakilan Muslimat itu.
Pemilihan calon-calon wanita banyak dipengaruhi oleh perkembangan dan strategi parti itu bagi menghadapi pilihanraya akan datang, kata Nasharudin lagi, apabila ditanya sama ada calon-calon itu akan bertanding di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Ketua Dewan Muslimat Senator Jamilah Ibrahim petang tadi mengesahkan kertas kerja cadangan itu telah diserahkan kepada jawatankuasa pusat PAS bulan lalu. Menurutnya, Presiden Datuk Fadzil Noor menyokong hujah-hujah yang dikemukakan oleh Muslimat.
Ditanya tentang pencabar jawatan Ketua Dewan Muslimat, Jamilah berkata beliau "amat mengalu-alukan" pencalonan itu.
Malaysiakini pernah melaporkan desa-desus di kalangan Muslimat yang tidak senang dengan kepimpinan tertinggi dewan itu.
"(Muslimat kini) ramai (golongan) profesional, tetapi tidak peka dengan hal-hal politik dan pentadbiran," katanya, mengulas rungutan perwakilan Muslimat yang tidak berpuas hati apabila usul mereka ditolak.
Selepas tarikh pencalonan ditutup hari ini, Nasharudin memaklumkan jawatankuasa pusat parti itu menerima 14 pencalonan untuk tiga jawatan naib presiden dan 74 pencalonan bagi 18 jawatan di peringkat ahli jawatankuasa pusat, termasuk lima wanita. Sementara usul-usul perwakilan untuk dibahaskan dalam muktamar akan dipilih dan diputuskan 28 Mei ini.
Parti itu sedang menjalankan persiapan terakhir bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan dan sesi pemilihan yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Mei ini di Markaz Tarbiyyah PAS di Gombak, Selangor.
