Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menepis tanggapan bahawa kenyataannya berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan pendirian presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, kata beliau, kenyataan mereka mempunyai maksud yang sama iaitu untuk melihat terlebih dahulu kandungan usul - yang didedahkan kepada media pada Sabtu lalu - masih belum diteliti mereka ketika itu.

"Tak bercanggah. Presiden (PAS) kata kita akan tengok dulu. Saya pun kata, kita akan tengok dulu. Sebab usul yang sebenarnya itu, kita belum tengok lagi kewajarannya.

"Pada dasarnya kita setuju, presiden pun setuju sebagai satu proses demokratik dalam parlimen. Itu kita setuju. Kalau nak menyokong, kita tengoklah kalau benda itu naik (diusulkan dalam Dewan), kita (sokong)," katanya ketika ditemui Malaysiakini .

Sabtu lalu, bercakap kepada media pada Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Muhammad IV Kota Bharu, Takiyuddin berkata PAS akan menyokong jika undi tidak percaya itu dibawa ke parlimen dalam persidangan kali ini.

Bagaimanapun katanya, PAS mahu "melihat terlebih dahulu jika usul tersebut benar-benar dibawa ke parlimen".

Hadi pula pada hari dan tempat yang sama berkata bahawa PAS akan "tunggu dan lihat" terlebih dahulu bagi melihat kewajaran usul undi tidak percaya jika ia dibawa ke parlimen.

Terima usul

Mengulas berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor Azmin Ali bahawa PAS akan menyokong usul itu, Takiyuddin berkata pada asasnya, PAS menerima usul undi tidak percaya termasuk difailkan oleh MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

"Jadi pada asasnya, PAS menerima usul undi tidak percaya sebagai satu proses dalam parlimen. Dan PAS menyokong usul itu sebagi satu kaedah dalam parlimen.

"Jadi mengenai usul yang dibawa ini, kita akan buat keputusan. Pada dasarnya, kita memang bersama. Kita tak tahu lagi benda ni naik ataupun tidak. Jadi, pada dasarnya kita menyokong.

"Kalau ada betul (dibacakan dalam Dewan Rakyat), kita buat keputusan bersamalah. Kita pembangkang. Pembangkang akan sokong pembangkanglah. Kerajaan pun akan sokong pembangkang," katanya.

Ditanya mengapa tidak mengumpul sokongan sebagai tanda kebersamaan Pakatan Harapan dan PAS dalam isu ini, Takiyuddin menganggap perkara itu "tidak perlu didedahkan dan akan berbincang mengenainya bila tiba pada masanya."

"Usul tak percaya itu adalah satu tindakan yang dibawa terhadap parti pemerintah. Kalau kita yang bawa usul itu, kita mesti ada strategilah. Takkan nak dedah kesemuanya.

"Untuk kami dedahkan, (bahawa kami perlu) buat itu dan ini, itu bukan cara yang sepatutnyalah. Tak bolehlah, kamu tanya, 'kenapa tak buat itu, tak buat ini'. Itu kita punya strategilah. Nanti sampai masa kita (dedahkan)," katanya.

Bukan dalam gabungan

Takiyuddin juga berkata tiada perbincangan "khusus dan terperinci" dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung pembentangan undi tidak percaya kepada Najib.

Sebaliknya, kata Takiyuddin, Wan Azizah hanya berbincang dengan kepimpinan Pakatan Harapan dan PAS bukan berada dalam gabungan pembangkang itu.

"Jadi kita bila jumpa kita bincang secara terperinci. Yang kita tahu, dalam kertas aturan mesyuarat saja.

"Sebelum beliau buat kenyataan, kita tak bincang apa-apa (secara terperinci). Akan ada perbincangan, kita dengan PKR, kita bersama. Tak ada masalah. Tak ada perkara untuk dibimbangi.

"Bagi saya, apa yang dibawa oleh ketua pembangkang, itu, adalah satu usul mewakili semua pembangkang. Dan saya rasa, tak ada pembangkang yang tak sokong pembangkang, malahan yang akan sokong mungkin daripada parti pemerintah itu sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS