Puteri Umno yang masih di peringkat jawatankuasa penaja cuba mendapatkan keahlian pelajar-pelajar baru Universiti Putra Malaysia (UPM) walau Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang pelajar terbabit dengan politik.

Pemangku Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu Mohd Zaid Ismail memberitahu malaysiakini hari ini, borang-borang itu diedarkan oleh seorang pelajar wanita ketika majlis suai kenal pelajar baru di kampus itu minggu lalu.

Menurutnya, MPP telah membuat aduan berhubung perkara itu kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr Idris Abdol.

"Beliau berjanji akan mengambil tindakan," kata Mohd Zaid, mengulas perjumpaan 15 wakil persatuan pelajar itu dengan pentadbiran universiti, sehari selepas kejadian itu.

Beliau, yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam UPM berkata, pemimpin pelajar juga akan menyiasat sendiri kejadian mengedarkan borang-borang parti politik di kampus tersebut.

"Kita bertindak berdasarkan AUKU (akta universiti) kerana pelajar tidak boleh menyertai mana-mana pertubuhan politik atau menunjukkan simpati kepada pertubuhan politik," kata Mohd Zaid lagi.

Akta universiti melarang pelajar terlibat dengan parti politik kecuali dengan izin bertulis Naib Canselor. Sekiranya didapati bersalah melanggar seksyen 15 akta ini, seseorang pelajar boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mohd Zaid bagaimanapun menjelaskan pelajar-pelajar baru itu "tidak dipaksa" mengisi borang tersebut.

Bimbang tidak dapat kemudahan

Isu itu pertama kali dibangkitkan oleh ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya di Gombak Ahad lalu. Beliau berkata, seorang bapa mengadu kepadanya dan berasa risau apabila anaknya diberikan borang pendaftaran keahlian Puteri Umno semasa minggu orientasi di universiti itu.

Pada sesi pendaftaran pada 12 dan 13 Mei lalu, UPM menerima seramai 4,471 orang pelajar baru.

Ketika dihubungi hari ini, Mohamad berkata bapa berkenaan bimbang jika anaknya tidak mendapat kemudahan biasa pelajar jika tidak menyertai pergerakan Umno itu.

"Peluang-peluang adalah hak pelajar. Kalau takut, isi borang (Puteri), tidak mengapa. (Tetapi) dari segi pendirian politik, mereka (pelajar) menyokong kita (PAS)," katanya kepada malaysiakini .

Disember lalu, beberapa pelajar UPM yang dipercayai berjaya dipengaruhi Umno mengedarkan borang-borang asal keahlian parti itu kepada kira-kira 100 pelajar di Fakulti Pendidikan.

Pelajar yang mengisi borang itu didakwa "senang mendapat pekerjaan" dan tidak perlu membayar yuran tahunan keahlian.

Malaysiakini melaporkan sumber-sumber pelajar menyebutkan borang-borang Umno turut diedarkan di beberapa kolej kediaman.